MENDIDIK anak-anak pada era moden sememangnya menuntut kesabaran yang tinggi, terutamanya apabila menyentuh bab prestasi akademik.
Ada ibu bapa yang cepat gelisah, namun tidak kurang juga yang memilih untuk menjadi pemangkin semangat tanpa meletakkan tekanan berlebihan.
Itulah yang dibuktikan oleh usahawan dan personaliti media sosial popular, Hafiz Mahamad, apabila berkongsi pengalaman ketika hadir ke sekolah peribumi Cina bagi mengambil kad laporan (report card) anak perempuannya, Raisya, yang kini berada di Darjah Satu.
Menerusi hantaran santai di platform Threads, Hafiz mengakui wajah kerisauan jelas terbayang pada raut muka isterinya yang juga usahawan kosmetik, Syafiqah Aina, sebaik sahaja dimaklumkan oleh guru bahawa terdapat beberapa mata pelajaran yang memperoleh keputusan sederhana.
"Anak saya sekolah Cina, semalam pergi ambil report card dan dengar apa cikgu punya update. Buka tengok report card, ada subjek dapat sederhana. Muka mak macam biasalah, ada rasa risau," kongsinya.
Namun, apa yang menarik perhatian adalah sikap bapa muda ini yang enggan menambah beban emosi mahupun jadual harian anaknya dengan kelas tambahan secara keterlaluan.
Suami kesayangan Syafiqah Aina itu secara seloroh meluahkan rasa hatinya,"Saya dalam hati, janganlah kau tambah kelas ekstra dekat anak aku ni.
"Cukuplah kelas ekstra yang ada sekarang. Dah macam ambil PhD aku tengok, haha! Seminggu berapa kali kelas malam," tulisnya lagi.
Menyedari anaknya masih di peringkat awal persekolahan, Hafiz memilih untuk menangani situasi tersebut secara positif dan rileks.
Dia juga bersedia memanfaatkan teknologi seperti ChatGPT bagi membantu pemahaman akademik anaknya kelak.
Memetik kata-kata Hafiz kepada anaknya,"Reaction saya simple. Raisya, nanti daddy ajar pakai ChatGPT. Alaa, baru darjah 1. Relax dulu, rileks dulu. Daddy, mummy bangga dengan Raisya," ungkap bapa kepada dua cahaya mata itu ringkas namun tegas.
Hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan warga pendidik yang menyokong pendekatan mesra emosi dalam mendidik anak.
Seorang guru menyuarakan sokongan di ruangan komen dengan berkata,"Saya cikgu dan saya juga sokong usaha mummy push anak. Anak boleh main juga tapi dalam satu masa yang sama mesti ada jadual. Mendisiplinkan murid sekarang adalah satu impak terbesar suatu masa nanti. So daddy, please support mummy."
Selain itu, terdapat netizen yang berkongsi pengalaman peribadi yang pernah menghadapi situasi serupa sewaktu kecil.
Salah seorang pengguna menceritakan,"Saya tak pernah ada asas Bahasa Cina, tadika pun tak pernah belajar. Tiba-tiba darjah 1 ayah masukkan sekolah Cina, tiap hari menangis sebab dalam kelas cuma kita saja yang tak ada asas manakala budak lain semua ada. Tiap kali peperiksaan mesti kita yang terakhir. Sampai satu tahap guru besar panggil mak dan ayah bagi masa lagi tiga bulan untuk tengok prestasi kalau masih teruk kena tukar sekolah. Alhamdulillah berkat doa ibu bapa, kita boleh belajar sampai darjah 6. Insya-Allah Raisya boleh, dia anak cerdik."
Ada juga ibu bapa yang berkongsi bahawa faktor umur dan kematangan memainkan peranan penting dalam perkembangan pelajaran anak. Seorang ibu menyatakan,"Anak saya darjah satu dan dua memang tak berapa okay, bila dah darjah tiga dia dah mula matang dan fokus. Sekarang keputusan semua A, alhamdulillah. Kadang-kadang umur memainkan peranan."
Pengalaman menggunakan teknologi AI dalam pembelajaran turut diakui oleh pengguna lain yang berkongsi,"Macam anak saya darjah 1, dia yang ChatGPT dulu perkataan yang dia tak faham atau nak terjemahkan sebelum tanya saya. Yang pasti mak dia yang ajar cuba tengok dalam GPT dulu."
Silibus persekolahan hari ini diakui agak mencabar buat si kecil.
Justeru, gandingan impian serta persefahaman antara ibu bapa dalam mendidik tanpa menjejaskan emosi serta kegembiraan masa kanak-kanak adalah kunci utama kejayaan mereka pada masa hadapan.