HUBUNGAN sebagai suami isteri mungkin sudah berakhir, namun tanggungjawab dan kasih sayang terhadap anak-anak tidak pernah terhenti.
Itulah yang ditunjukkan pelakon, Fasha Sandha dan bekas suaminya, Toh Muda Datuk Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai Jejai apabila kedua-duanya dilihat bersama-sama memberikan sokongan kepada anak-anak mereka, Putra Rayfal Ramli,13, dan Putri Raysha Jemyma, 12.
Menerusi hantaran di Instagram itu, Fasha meluahkan rasa bangga melihat anak-anaknya memberikan usaha terbaik sepanjang acara sukan berlangsung.
"Untuk anak-anak ibu yang tersayang, ibu sangat bangga dengan kalian berdua.
"Melihat kalian memberikan usaha terbaik pada Hari Sukan membuatkan hati ibu begitu gembira," tulisnya.
Lebih menyentuh hati, pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan, 42, turut mengakui dirinya dan pasangan bukanlah ibu bapa yang sempurna.
Bagaimanapun, mereka akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik selain berada di sisi anak-anak untuk memberikan sokongan dalam apa jua keadaan.
"Kami sayangkan kalian," titipnya.
Perkongsian itu mengundang reaksi positif warga maya yang menyifatkan tindakan Fasha dan Jejai sebagai contoh baik kepada anak-anak.
Malah, ada yang memuji hubungan kedua-duanya yang masih mampu mengekalkan hubungan baik meskipun sudah membawa haluan masing-masing.
Sekadar info, Fasha dan Jejai mendirikan tumah tangga pada 27 April 2012. Bagaimanapun, kedua-dua mereka bercerai pada 20 Januari 2016.
Fasha kemudian berkahwin dengan pelakon Aidil Aziz pada Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Aisha Amaira yang kini berusia enam tahun.
Sumber: Instagram