GIMNASIUM Anytime Fitness Malaysia, melakar dua pencapaian membanggakan apabila meraikan pembukaan kelab ke-600 di rantau Asia serentak dengan pelancaran cabaran kecergasan serantau, Battle of the Purple Champions (BOPC) buat julung kalinya di Malaysia.
Bakal berlangsung Oktober ini, cabaran BOPC bukan sekadar pertandingan gim biasa yang memfokuskan kepada bebanan berat atau daya tahan atlet profesional semata-mata.
Cabaran kecergasan itu direka berteraskan pergerakan fungsional harian seperti kemahiran mengangkat barang dapur yang berat atau menaiki tangga tanpa cepat tercungap-cungap.
Menariknya, acara ini dibuka secara meluas kepada semua golongan, sama ada ahli sedia ada, orang awam, individu yang baru pertama kali mahu mencuba aktiviti di gim mahupun peminat tegar sukan kecergasan.
Menurut Pegawai Ketua Operasi Kumpulan Inspire Brands Asia, Ryan Cheal, pembukaan cawangan ke-600 di Asia membuktikan bahawa sokongan komuniti adalah kunci utama untuk seseorang kekal aktif dalam jangka masa panjang.
"Bagi kami, perluasan rangkaian ini bukan sekadar menambah lokasi, tetapi mewujudkan ruang yang inklusif dan mudah diakses di seluruh Malaysia serta rantau ini.
"Sesiapa sahaja, tanpa mengira tahap kecergasan, berasa berkuasa untuk membina tabiat sihat seumur hidup," katanya.
Beliau turut menambah bahawa pertandingan BOPC direka khas bagi mengikis persepsi bahawa gimnasium adalah tempat yang menakutkan atau hanya untuk orang yang paling kuat.
"Kecergasan tidak sepatutnya menjadi usaha perseorangan yang menakutkan. Ia adalah tentang membina komuniti yang saling menyokong. Apabila kita berlatih untuk kehidupan sebenar, kita menjadi lebih kuat bersama-sama," tambah Ryan.
Bagi mengukuhkan komitmen membawa gaya hidup sihat ke seluruh pelosok negara, Anytime Fitness juga baru-baru ini telah melebarkan sayapnya ke East Malaysia menerusi pembukaan cawangan pertama di Kuching, Sarawak.
Langkah itu memastikan kemudahan gimnasium berkualiti dapat dinikmati secara saksama oleh rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi, merentasi Semenanjung hingga ke Borneo.