BUKAN mudah untuk memulakan satu penghijrahan, apatah lagi apabila perubahan itu datang tanpa dirancang.
Namun bagi pelakon Salina Saibi, kepulangan daripada mengerjakan umrah pada Syawal lalu menjadi titik permulaan yang mengubah cara dia melihat kehidupan.
Sejak itu, dia memilih untuk tampil berhijab dan mengakui perjalanan tersebut masih penuh dengan ujian yang perlu dihadapi setiap hari.
Menurut Salina, sebelum berangkat ke Tanah Suci, dia langsung tidak berniat atau merancang untuk mengenakan tudung. Namun, sekembalinya dari Mekah, timbul satu rasa dalam hati yang mendorongnya untuk berubah sedikit demi sedikit.
"Saya harap semua orang doakan saya untuk terus istiqamah. Sejujurnya iman saya pun lemah dan saya masih belajar.
"Setiap kali nak keluar rumah dan pakai tudung, memang ada sahaja bisikan yang menghasut. Dugaan paling besar sebenarnya datang daripada diri sendiri," katanya lagi.
Pelakon itu tidak menafikan penghijrahannya turut mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai di media sosial. Bagaimanapun, dia memilih untuk melihat setiap komen sebagai satu ujian yang perlu dihadapi dengan hati yang tenang.
Antara komen yang paling memberi kesan kepadanya ialah apabila ada yang mengatakan dirinya masih muda untuk berhijab.
"Bila orang cakap, 'Muda lagi nak pakai tudung', saya rasa pelik juga. Maksudnya mereka nak saya lambat lagi berubah?
"Pada saya, itu bukan salah mereka semata-mata. Dugaan sebenar ialah bagaimana syaitan menguji hati kita dan bagaimana kita menerima ujian itu. Alhamdulillah, setakat ini saya masih kuat," ujarnya.
Salina turut mengakui ada masanya dia merindui imej lamanya, terutama rambut yang pernah menjadi kebanggaannya. Namun, dia sentiasa mengingatkan diri bahawa kehidupan ini terlalu singkat untuk terus mengejar perkara yang bersifat sementara.
"Saya memang rindu rambut saya. Dulu saya rasa rambut saya cantik dan itu juga sebenarnya satu dugaan untuk saya.
"Dah separuh abad usia kita, tak tahulah sampai bila kita hidup. Jadi kalau boleh buat sesuatu yang baik untuk diri sendiri, buatlah. Jangan terlalu fikir apa orang nak kata," katanya.
Keputusan berhijab
Dalam pada itu, Salina bersyukur kerana perubahan yang dilakukan memberi ketenangan dalam hidupnya. Lebih bermakna, keputusan berhijab itu dibuat atas kerelaan sendiri tanpa sebarang paksaan daripada suami.
"Saya buat semua ini untuk diri saya, kerana ALLAH dan juga suami saya. Suami tak pernah paksa, cuma bila dia tengok saya bertudung, dia senyum. Itu sudah cukup membuatkan saya gembira."
Menurutnya lagi, dia masih terikat dengan penggambaran drama Gerak Khas dan berharap penampilannya dalam musim akan datang dapat disesuaikan dengan imej baharunya.
"Saya habiskan musim ini dahulu. Insya-ALLAH untuk musim seterusnya saya akan berbincang supaya watak saya juga tampil dengan penampilan yang baharu. Alhamdulillah, Datuk pun menyokong dan kata kalau dia halang, dia pula yang rasa berdosa."
Berkongsi perkembangan terkininya, Salina berkata dia kini semakin bersemangat mendalami penghijrahannya sehingga sudah membeli hampir 50 helai tudung sebagai persediaan.
"Saya rasa ALLAH yang beri rasa itu dalam hati. Saya dah mula beli tudung, hampir 50 helai dah.
"Saya juga berniat, jika diizinkan ALLAH, setiap tahun saya mahu kembali ke Mekah.
"Malah saya berharap suatu hari nanti dapat menaja seseorang menunaikan umrah. Itu antara doa dan impian saya.
"Insya-ALLAH, saya akan dahulukan keluarga, kemudian kalau ada rezeki lebih, saya mahu berkongsi dengan orang lain," katanya yang berharap orang ramai terus mendoakannya agar kekal istiqamah dengan penghijrahan tersebut.
Sumber Video: MEDIA HIBURAN