Syafinaz Selamat dilantik Profesor Adjung UPSI buat kali kedua - 'Pelantikan ini suatu penghormatan yang amat besar'

Iklan

BAGI sesetengah individu, kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian di pentas, tetapi sejauh mana ilmu dan pengalaman yang dimiliki mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Itulah prinsip yang terus dibawa penyanyi dan guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat apabila sekali lagi diberi kepercayaan sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Iklan
Iklan

Pelantikan bagi penggal kedua yang berkuat kuasa dari 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2028 itu dilihat sebagai satu penghormatan besar buat Syafinaz, selain membuka ruang untuk beliau terus menyumbang dalam bidang pendidikan, penyelidikan serta pembangunan bakat muzik negara.

Menurut pemilik nama sebenar Syafinaz Selamat itu, kepercayaan yang diberikan UPSI khususnya FMSP membawa tanggungjawab yang akan dilaksanakan dengan penuh komitmen, profesionalisme dan integriti.

Iklan

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada UPSI, khususnya Fakulti Muzik dan Persembahan di atas kepercayaan yang sekali lagi diberikan kepada saya melalui pelantikan sebagai Profesor Adjung Tersohor bagi penggal kedua.

"Pelantikan ini merupakan suatu penghormatan yang amat besar serta amanah yang akan saya laksanakan dengan penuh komitmen, profesionalisme dan integriti," katanya.

Iklan

Syafinaz berkata demikian ketika membalas hantaran yang dimuat naik  music.fmsp di Instagram. 

Bagi Syafinaz, peluang tersebut bukan sekadar berkongsi pengalaman yang dikumpul sepanjang berada dalam industri seni, tetapi turut menjadi ruang untuk menyumbang kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi serta pembangunan modal insan.

Meninggalkan legasi

Figura seni itu turut berharap jalinan kerjasama antara dunia akademik dan industri muzik dapat terus diperkukuh demi memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat serta negara.

Sebelum ini, Syafinaz pernah dilantik sebagai Profesor Adjung di FMSP UPSI bagi tempoh setahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026 sebagai usaha mempererat hubungan antara institusi pendidikan dengan industri muzik.

Dengan pengalaman luas sebagai penyanyi, pengarah muzik, jurulatih vokal dan pendidik, Syafinaz sememangnya tidak asing dalam usaha membimbing bakat baharu.

Anak bongsu daripada 11 beradik itu juga dikenali menerusi keunikan vokalnya yang tersendiri, khususnya dalam genre klasikal Barat sehingga menerima jolokan"Ratu Soprano" negara.

Selain itu, perjalanan seninya turut diwarnai dengan pelbagai pencapaian termasuk pengiktirafan sebagai Penyanyi Wanita Popular pada 1998/99.

Bagi Syafinaz, setiap peluang untuk mendidik bukan sekadar satu tanggungjawab, tetapi amanah untuk meninggalkan legasi yang lebih bermakna dalam dunia muzik tanah air.

Melalui pengalaman dan ilmu yang dimiliki, beliau berharap dapat terus menjadi sebahagian daripada perjalanan generasi baharu yang bakal mencorakkan masa depan seni muzik Malaysia.