HANYA 49 hari dipinjamkan kepada keluarga, pemergian si kecil Kayla meninggalkan kesan mendalam, apatah lagi buat abangnya yang masih belum mengerti sepenuhnya tentang erti kehilangan.
Terbaharu, ayahnya menerusi Instagram Wan Belida berkongsi berita dukacita mengenai pemergian anak perempuannya itu yang dipercayai meninggal dunia akibat tersedak susu.
Dalam kesedihan yang masih dirasai, bapa kepada pempengaruh cilik dikenali sebagai Bang Aji, Muhammad Aniq, 5, itu turut tampil menjelaskan salah faham yang timbul mengenai video lama anak sulungnya itu bersama arwah Kayla, selepas rakaman berkenaan kembali tular susulan pemergian bayi tersebut.
Mohd Redzuan, 41, berkata dia dan isteri masih terkejut dengan kehilangan itu, namun tetap reda dengan ketentuan ALLAH.
“Kayla hanya diberi pinjaman selama 49 hari. Walaupun masih dalam keadaan terkejut, namun kami tetap reda dengan pemergian ini,” katanya.
Menurutnya, kejadian berlaku pada Jumaat lalu selepas dia menerima panggilan daripada isterinya sekitar jam 9 pagi yang memaklumkan keadaan Kayla.
“Saya terima panggilan daripada isteri pada jam 9 pagi beritahu anak dalam keadaan sejuk dan tidak bergerak menyebabkan saya bergegas balik dari tempat kerja.
“Sampai saja di rumah saya cuba buat CPR tetapi yang saya nampak ialah cecair warna merah jambu keluar dari hidung, kemungkinan susu yang sudah tercampur dengan darah,” katanya.
Mohd Redzuan berkata, kali terakhir isterinya memaklumkan menyusukan Kayla adalah sekitar jam 6 pagi pada hari sama.
Bayi tersebut kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Guar Chempedak sebelum dirujuk ke Hospital Yan.
Bagaimanapun, Kayla disahkan meninggal dunia dan keluarga diarahkan menjalani prosedur bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada keesokan harinya.
Menurut Mohd Redzuan, pihaknya dimaklumkan laporan penuh bedah siasat hanya boleh diperoleh dalam tempoh sehingga tiga bulan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Terkilan juga sebab perlu melalui proses bedah siasat. Sebenarnya kami tak mahu buat tetapi dimaklumkan arahan melakukannya tidak boleh dibatalkan atas sebab prosedur.
“Selesai proses bedah siasat, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Wustha sekitar jam 2 petang Sabtu,” katanya.
Video Bang Aji bersama adik kembali tular
Dalam pada itu, Mohd Redzuan turut menjelaskan mengenai satu video lama yang memaparkan Bang Aji membantu Kayla minum susu menggunakan botol.
Rakaman pendek berkenaan kembali menjadi perhatian selepas pemergian Kayla, malah terdapat segelintir pengguna media sosial yang membuat andaian bahawa bayi itu tersedak ketika diberikan susu oleh abangnya.
Mohd Redzuan bagaimanapun menafikan perkara tersebut dan meminta orang ramai tidak membuat kesimpulan berdasarkan rakaman lama berkenaan.
“Ramai salah anggap dan komen bukan-bukan seperti sebab Bang Aji bagi susu, adik dia tersedak, bukan begitu!” jelasnya.
Katanya, Kayla sebenarnya menyusu badan sepenuhnya dan hanya diberikan susu menggunakan botol apabila ibunya tiada.
Lebih penting, rakaman tersebut bukan dibuat pada hari kejadian sebaliknya dirakam lebih awal ketika Kayla masih bersama keluarga.
Justeru, Mohd Redzuan berharap penjelasan itu dapat menghentikan pelbagai andaian yang timbul selepas video berkenaan dikongsi semula di media sosial.
Kelahiran Kayla tidak terlalu didedahkan
Mohd Redzuan turut menjelaskan bahawa keluarga sebelum ini memilih untuk tidak terlalu mendedahkan kelahiran Kayla kepada umum.
Katanya, kebanyakan rakaman yang dikongsikan di media sosial dibuat sepanjang 49 hari Kayla bersama keluarga dan kini menjadi kenang-kenangan selepas pemergiannya.
“Ramai tidak tahu kelahiran Kayla kerana kami mengambil keputusan enggan terlalu mendedahkannya di media sosial.
“Selepas ketiadaannya, video yang dimuat naik hanya sekadar dijadikan kenang-kenangan,” katanya.
Bagi keluarga, setiap rakaman yang pernah dibuat ketika Kayla masih ada kini membawa makna yang berbeza.
Apa yang dahulu mungkin dianggap sekadar momen biasa antara seorang abang dan adik, kini menjadi sebahagian daripada memori yang akan disimpan sepanjang hayat.
Sebuah kehilangan
Sementara itu, kisah Bang Aji yang masih kecil dan cuba memahami pemergian adiknya turut menyentuh hati ramai.
Menerusi perkongsian laman media sosial dikenali sebagai Mommy Hanna, Bang Aji dikatakan berkata:
“Bang Aji kata adik mati. Nanti bila adik dah lega, adik baliklah.”
Kata-kata polos kanak-kanak berusia lima tahun itu cukup menggambarkan bagaimana dia cuba memahami sebuah kehilangan yang begitu besar dalam usia yang masih muda.
Mungkin pada fikirannya, Kayla hanya pergi buat sementara waktu dan akan pulang semula selepas 'lega'.
Namun buat keluarga, mereka tahu pemergian Kayla adalah satu perpisahan yang tidak mudah untuk diterima.
Kayla mungkin hanya sempat bersama mereka selama 49 hari, tetapi tempoh yang singkat itu sudah cukup untuk meninggalkan kasih sayang, kenangan dan ikatan yang akan terus hidup dalam ingatan keluarga.
Kini, keluarga hanya mampu menerima ketentuan tersebut dengan hati yang reda sambil menantikan laporan penuh bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Semoga keluarga Mohd Redzuan diberikan kekuatan untuk melalui kehilangan ini dan terus tabah membesarkan Bang Aji serta anak-anak yang lain.
Al-Fatihah buat arwah Kayla.
Sumber: Sinar Harian & farid_mommyhana