KASIH sayang dan kebahagiaan dalam rumah tangga bukannya sentiasa diukur menerusi kemewahan atau kejutan besar. Kadang kala, keprihatinan dan konsistensi dalam melakukan perkara-perkara kecil saban hari menyemarakkan percintaan.
Personaliti media sosial popular, Maryam Younarae berkongsi suaminya, Ryzal Ibrahim yang tidak pernah culas memudahkannya untuk beribadah sepanjang tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Menerusi satu perkongsian ringkas tetapi penuh bermakna, Maryam meluahkan rasa syukur.
"Setiap kali solat, suami mesti tolong bentangkan sejadah untuk saya, kemudian tunggu saya sekali. Benda kecil je, tapi sudah tujuh tahun dia masih buat macam ni.
Perkongsian romantis pasangan yang terkenal dengan saluran Duriankimchi itu nyata menyentuh hati warganet terutama tentang didikan agama diterapkan oleh Ryzal buat Maryam yang merupakan seorang mualaf.
Ramai mendoakan agar keharmonian dan kasih sayang mereka kekal berpanjangan hingga ke syurga.
"Ryzal sangat bagus mendidik Maryam yang mualaf. Daripada tidak bertudung, kini sudah tutup aurat. Ajar sendiri Maryam mengaji. Semoga bahagia ke akhir hayat Maryam dan Ryzal."
"Bukan senang untuk seorang lelaki benar-benar komited melakukan perkara sebegini, memimpin tangan isterinya ke syurga bersama-sama."
"Usaha kecil, tetapi bila kita jenis yang sentiasa bersyukur, memang sangat dihargai. Tak perlu beli intan permata pun. Tapi kalau dapat, itu rezeki!"
Maryam dan Ryzal mendirikan rumah tangga pada 15 Ogos 2019 selepas wanita Korea Selatan itu memeluk Islam pada 1 Ramadan tahun tersebut.
Mereka terdahulu menetap Seoul sebelum mengambil keputusan pulang ke Malaysia pada September 2020.
Pasangan YouTuber itu memiliki sepasang cahaya mata iaitu Nik You Rina, 5, dan Nik You Rian, setahun enam bulan.