'Terima kasih kerana masih ada' – Aliff Syukri hadiahkan jam tangan Rolex, Shahida titip pesan menyentuh hati sempena 19 tahun perkahwinan

Iklan

SEMBILAN belas tahun bukan tempoh yang singkat untuk dua manusia terus memilih satu sama lain. Di sebalik senyuman, hadiah Rolex dan sambutan ulang tahun perkahwinan, ada cerita yang jauh lebih dalam tentang sebuah rumah tangga yang sudah melalui pelbagai warna kehidupan.

Datin Seri Shahida sendiri mengakui perjalanan bersama Datuk Seri Aliff Syukri bukanlah sentiasa dipenuhi bahagia. Ada masa mereka ketawa bersama, ada ketika air mata menjadi saksi dan tidak kurang juga hari apabila masing-masing memilih untuk diam kerana terlalu penat untuk berbicara.

Iklan
Iklan

Namun, selepas 19 tahun, pasangan itu masih berdiri di sisi satu sama lain.

“Dalam segala kekurangan itu, kita masih ada untuk satu sama lain. Belajar mengalah, bertolak ansur, memaafkan dan menerima bahawa perkahwinan bukan tentang mencari pasangan yang sempurna, tetapi tentang dua manusia yang tetap memilih untuk berjalan bersama walaupun perjalanan itu tidak selalu mudah,” tulis Shahida menerusi perkongsian di media sosial.

Iklan

Perkongsian penuh makna itu dibuat sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-19, sekali gus memperlihatkan sisi berbeza pasangan berkenaan yang sering menjadi perhatian ramai.

Iklan

Dalam kesempatan sama, Shahida turut berkongsi momen menerima hadiah istimewa daripada Aliff berupa seutas jam tangan mewah Rolex.

“Sempena anniversary kita yang ke-19 tahun ni Papa belanja Mama jam Rolex tau. Alhamdulillah rezeki dapat jam. Terima kasih @aliffsyukriterlajaklaris,” katanya.

Bagaimanapun, hadiah mewah itu bukanlah perkara utama yang ditekankan Shahida. Sebaliknya, wanita berkenaan memilih untuk mengenang perjalanan panjang mereka sebagai suami isteri dan keluarga.

MASA DEPAN

Menurutnya, 19 tahun mengajarnya bahawa cinta tidak hanya hadir menerusi kata-kata manis, sebaliknya turut diterjemahkan melalui tanggungjawab, kesabaran, pengorbanan serta kesanggupan untuk kekal bersama ketika kehidupan tidak berjalan seperti yang diharapkan.

Hasil perkongsian hidup, Aliff dan Shahida dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al-Qardawi, Raudhah Al-Jannah dan Luqman Al-Hakim.

Bertahun-tahun membina keluarga bersama, tentu ada banyak perkara yang berubah. Namun, satu perkara yang masih menjadi pegangan mereka ialah memilih untuk terus melangkah sebagai pasangan.

Lebih menyentuh hati, Shahida turut menitipkan pesanan tentang masa depan dan hakikat bahawa kehidupan manusia berada dalam aturan ALLAH.

“Entah berapa lama lagi ALLAH pinjamkan kita untuk satu sama lain. Jika suatu hari nanti salah seorang daripada kita pergi terlebih dahulu, semoga yang tinggal tidak terlalu lama bersedih. Simpanlah yang baik-baik, maafkan segala kekurangan, dan ingatlah bahawa kita pernah berkongsi sebahagian besar perjalanan hidup ini bersama,” tulisnya.

Dia turut menyimpan harapan agar sekiranya ada pertemuan selepas kehidupan di dunia, mereka dapat dipertemukan kembali dalam keadaan yang lebih baik.

“Semoga ALLAH izinkan kita bertemu kembali dalam keadaan yang jauh lebih baik, tanpa luka, tanpa salah faham, hanya dengan bahagia yang tidak lagi mempunyai penghujung.”

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007 dan kini sudah hampir dua dekad membina kehidupan bersama.

Perkongsian Shahida itu turut mengundang pelbagai reaksi warganet yang rata-rata menitipkan ucapan ulang tahun serta mendoakan agar pasangan tersebut terus diberikan kebahagiaan dan kekuatan dalam melayari kehidupan bersama.

Bagi Aliff dan Shahida, 19 tahun mungkin tidak sempurna. Namun, barangkali itulah yang menjadikan perjalanan mereka lebih bermakna — kerana cinta yang sebenar bukan sekadar tentang hari-hari yang indah, tetapi tentang tetap memilih untuk berada di sisi apabila hari-hari sukar datang menjengah.

“Selamat ulang tahun perkahwinan ke-19. Terima kasih kerana masih ada.”