TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Di sebalik kejayaan manis yang dilakar di pentas antarabangsa, terselit sebuah kisah pengorbanan yang menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.
Anak cilik berusia 10 tahun, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum, membuktikan bahawa keterbatasan hidup bukanlah alasan untuk mengejar impian. Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, Johor Bahru ini baru-baru ini melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai Johan Play-Off Qualifier pertandingan Hippo English Without Borders 2026 yang berlangsung meriah di Doha, Qatar.
Lebih membanggakan, kemenangan manis itu sekali gus melayakkan Wan Harriz mara ke Pusingan Akhir Dunia (World Final Round) yang dijadualkan berlangsung di Spoleto, Itali pada Oktober depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Muhamad Naqib Md Ghazal berkata, kejayaan Wan Harriz amat bertepatan dengan Teras 1 Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) iaitu Penguasaan Bahasa Inggeris.
"Ia secara tidak langsung memperkukuhkan aspirasi SRBJ dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah memiliki keyakinan diri yang tinggi, kemahiran komunikasi yang kukuh serta berupaya bersaing di pentas antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Anak MALAYSIA mampu bersaing
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut meluahkan rasa bangga dan menyifatkan kejayaan Wan Harriz sebagai permata baharu negara dan sumber inspirasi luar biasa buat anak-anak muda tempatan.
"KPM mengucapkan tahniah kepada Wan Harriz Wan Abdul Qayyum dari Sekolah Kebangsaan Tasek Utara, Johor kerana telah dinobatkan sebagai Johan Hippo English Without Borders 2026 di Doha, Qatar.
"Pencapaian ini membuktikan anak Malaysia mampu bersaing dan unggul pada peringkat antarabangsa. KPM akan terus memberi sokongan kepada adik Harriz yang bakal membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi," petik kenyataan KPM.
Ulat buku seawal usia 5 tahun
Memetik portal berita tempatan, anak kepada pasangan Nur Saliha Ali Shastry dan Wan Abdul Qayyum Wan Mahadi itu rupanya mula meminati bahasa Inggeris sejak berusia lima tahun.
Sebagai abang sulung daripada tiga beradik, hobi Wan Harriz agak berbeza daripada kanak-kanak seusianya.
Dia sangat gemar membaca pelbagai bahan bacaan, bermula daripada ensiklopedia, komik Islamik sehinggalah ke buku-buku pengetahuan am.
"Subjek kegemarannya memang bahasa Inggeris. Selagi buku itu memberi manfaat, kami sebagai ibu bapa akan cuba menyokong minatnya kerana membaca memang menjadi hobinya sejak kecil," ujar ibunya, Nur Saliha.
Menurut Nur Saliha lagi, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memberikan sokongan padu memandangkan ini adalah kali pertama wakil murid dari Sekolah Kebangsaan Tasek Utara berjaya menembus pusingan ketiga pertandingan bertaraf antarabangsa itu.
Difahamkan, bapa, Wan Abdul Qayyum Wan Mahadi, 34, yang bekerja sebagai pemandu bas hampir membatalkan hasrat menghantar Wan Harriz kerana memikirkan kos yang tinggi.
Namun hasil galakan guru-guru, mereka telah cuba mendapatkan dana agar potensi Wan Harriz tidak disia-siakan.
Mereka kemudian menghasilkan video kreatif dengan kebenaran pihak sekolah sebelum dimuat naik ke media sosial untuk mengadakan kutipan dana di media sosial sekali gus merealisasikan impian Wan Harriz.
Untuk rekod, Hippo English Without Borders merupakan pertandingan bahasa Inggeris bertaraf antarabangsa yang amat berprestij. Bagi edisi kali ini sahaja, ia telah menarik penyertaan lebih 90,000 pelajar dari lebih 70 negara di seluruh dunia. Digubal mengikut piawaian Common European Framework of Reference for Languages (CEFR), pertandingan ini menguji kecekapan peserta secara menyeluruh merangkumi aspek membaca, menulis, mendengar bertutur serta tatabahasa.
Sumber: Astro Awani, Harian Metro