'Suami jangan hanya tahu minta, hulur tangan bantu.' Isu bekal & cekodok, Ustaz Wadi ingatkan kaum isteri medan menabur kasih sayang 

Iklan

ISU menyediakan bekal makanan untuk suami baru-baru ini menjadi topik hangat yang mencetuskan pelbagai pandangan di media sosial. Perkembangan tersebut turut mendapat perhatian penceramah bebas terkenal, Ustaz Wadi Anuar, yang menyifatkan amalan menyediakan bekal ringkas sebagai satu peluang emas buat para isteri untuk menabur kasih sayang dan memupuk keharmonian dalam rumah tangga. 

Ustaz Wadi menegaskan tindakan suami meminta bekal ringkas tidak sepatutnya dianggap sebagai satu bebanan yang berat. Sebaliknya, hal itu wajar dilihat dari sudut positif kerana ikatan kasih sayang selalunya terpancar daripada keprihatinan serta usaha kecil yang dilakukan secara konsisten seharian. 

Iklan
Iklan

 "Suami minta isteri sediakan bekal ringkas, itulah peluang isteri menabur kasih sayang. 

Iklan

 "Buatlah dengan baik, kerana kadang-kadang perkara kecil begini boleh mengeratkan lagi hubungan. 

 "Suami pula jangan hanya tahu meminta. Hulurkan tangan dan ringankan beban isteri bila berpeluang," titipnya menasihati pasangan suami isteri. 

Iklan

Dalam pada itu, beliau juga berkongsi perkara kecil yang mampu mengeratkan hubungan suami isteri:

Isteri kepada suami

  • Sediakan bekal jika berkesempatan.
  • Ambil berat makan dan minum suami.
  • Bantu menyiapkan keperluannya.
  • Sambut dan layan suami dengan baik.

Suami kepada isteri

  • Bantu menguruskan anak.
  • Ringankan tulang buat kerja rumah.
  • Beri ruang kepada isteri untuk berehat.
  • Penuhi barang keperluan isteri mengikut kemampuan.

 Isu perbincangan ini mula tercetus selepas seorang pengguna aplikasi Threads berkongsi foto bekal makanan yang disediakan oleh ibunya. 

 "Mak bekalkan mi goreng pagi ni.  

 Hantaran santai itu pantas tular hingga menerima lebih 50,000 tanda suka dan 14,000 komen daripada warganet.  

 Ruang komen dihujani pelbagai reaksi. Rata-rata memberikan komen positif terutama daripada golongan wanita dan ibu bekerja yang gembira menyediakan bekalan untuk suaminya di tempat kerja. 

 Tidak kurang juga para suami yang berkongsi foto bekal harian, sambil menitipkan penghargaan buat isteri atas pengorbanan masa menyediakan hidangan biarpun ringkas. 

 Bagaimanapun, terdapat segelintir netizen yang beranggapan bahawa permintaan sedemikian agak keterlaluan.  

 Sungguhpun timbul pelbagai perdebatan, perkongsian Ustaz Wadi Anuar itu membawa mesej kesederhanaan, yang mana kunci kebahagiaan rumah tangga sebenarnya terletak pada nilai toleransi dan sikap saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Sumber: Threads