BAGI sesetengah ibu, memilih hijab untuk anak bukan sekadar soal warna atau corak.
Keselesaan, material dan kemudahan untuk bergerak juga menjadi antara perkara yang perlu dipertimbangkan, lebih-lebih lagi apabila si kecil aktif bermain dan melakukan pelbagai aktiviti.
Daripada keperluan itu, tercetusnya idea Datin Siti Nadiah Mislan untuk menghasilkan Nadi Rafa Hijab, jenama hijab yang mengangkat konsep ringkas, selesa dan mudah digayakan untuk kanak-kanak serta wanita dewasa.
Menariknya, idea tersebut bermula daripada pengalaman peribadi Datin Nadiah sendiri ketika mencari hijab untuk anaknya, Widad Rafa, 10.
“Saya memang mencari hijab yang menepati cita rasa anak saya. Dia lebih gemarkan warna-warna lembut dan gaya yang menyerupai hijab mamanya berbanding hijab kanak-kanak yang banyak menggunakan warna terang atau corak kartun,” katanya.
Daripada situ, Nadiah memilih untuk menghasilkan hijab yang bukan sahaja memenuhi citarasa anaknya, malah boleh digayakan oleh ibu dan anak dalam rekaan yang sama.
Konsep tersebut diterjemahkan menerusi pilihan saiz kanak-kanak dan dewasa bagi setiap model, sekali gus memberi ruang kepada ibu dan anak untuk tampil sedondon mengikut kesesuaian masing-masing.
Lebih istimewa, koleksi berkenaan turut mengambil kira gaya hidup kanak-kanak yang aktif.
Selain Wafa Cotton Shawl, Nadi Rafa Hijab turut mengetengahkan Cotton Square Hijab yang hadir dalam pilihan saiz untuk kanak-kanak dan dewasa.
Daripada aktiviti harian hinggalah ke acara lebih formal, pendekatan jenama tersebut dilihat cuba membawa perspektif bahawa hijab untuk kanak-kanak tidak semestinya perlu sarat dengan corak atau warna terang.
Sebaliknya, gaya yang lebih sederhana juga boleh menjadi pilihan, terutama buat ibu yang mahu memperkenalkan anak kepada pemakaian hijab dengan cara yang selesa dan dekat dengan kehidupan mereka.
“Saya mahu anak-anak boleh memakai hijab dengan selesa dan pada masa sama ibu juga boleh berkongsi gaya yang sama dengan mereka. Bagi saya, itu yang menjadikan pemakaian hijab lebih bermakna,” ujar Nadiah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis Hari Sukan Tahunan Sekolah Rendah Integrasi Islam Puncak Jalil (SRIIPUJ) hari ini di Stadium Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM).