Bukan sekadar postur, belakang anak senget mungkin tanda skoliosis, Ibu bapa jangan terlepas pandang!

Iklan

PERNAH tak kalian perasan anak kelihatan tidak sama tinggi, pakaian seperti senget ke satu sisi atau badannya sedikit membongkok ketika duduk?

Bagi sesetengah ibu bapa, keadaan itu mungkin dianggap sekadar tabiat postur yang kurang baik. Ada juga yang menyangka ia berpunca daripada beg sekolah yang berat.

Iklan
Iklan

Namun, jika ketidakseimbangan pada tubuh anak semakin jelas, jangan terus menganggap ia perkara biasa.

Menurut Pakar Bedah Robotik dan Tulang Belakang, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr Saw Lim Beng, keadaan itu mungkin berkaitan dengan skoliosis iaitu kecacatan tiga dimensi pada tulang belakang yang menyebabkan ia melengkung dan berpusing.

Iklan

“Skoliosis bukan hanya tentang postur. Ia adalah keadaan kecacatan tiga dimensi yang mana tulang belakang melengkung dan berpusing, memberi kesan kepada keseimbangan badan secara keseluruhan,” jelas beliau.

Lebih membimbangkan, kebanyakan kes skoliosis berkembang secara senyap ketika zaman kanak-kanak dan remaja tanpa rasa sakit atau gejala ketara pada peringkat awal.

Iklan

Antara perkara yang sering terlepas pandang ialah perkembangan skoliosis boleh menjadi lebih ketara ketika anak melalui fasa tumbesaran pesat, khususnya sekitar usia 10 hingga 15 tahun.

Lengkungan yang kelihatan ringan pada awalnya boleh berkembang dengan lebih cepat apabila tulang belakang membesar.

“Dalam tempoh ini, tulang belakang boleh berkembang dengan sangat cepat. Lengkungan ringan kadangkala boleh menjadi semakin ketara sepanjang fasa pertumbuhan pesat ini,” katanya.

Sebab itu, kanak-kanak yang sudah dikenal pasti mengalami skoliosis perlu menjalani pemeriksaan susulan secara berkala bagi membolehkan perkembangan lengkungan dipantau dan intervensi awal dilakukan jika diperlukan.

Walaupun pada peringkat awal ia mungkin tidak menyakitkan, skoliosis yang semakin berkembang boleh menyebabkan sakit otot akibat ketidakseimbangan, bahu atau pinggul tidak sekata serta asimetri tubuh yang lebih ketara.

Kesan keadaan ini juga bukan sekadar fizikal. Sesetengah kanak-kanak boleh berasa rendah diri, cuba menyembunyikan belakang dengan pakaian longgar atau rambut, malah mengelakkan situasi sosial kerana merasakan diri mereka berbeza.

Penggunaan beg berat

Bagi remaja, khususnya perempuan, perubahan bentuk tubuh ini boleh memberi kesan kepada keyakinan diri, aktiviti harian dan kesejahteraan emosi.

Malah, 80 hingga 90 peratus kes skoliosis adalah idiopatik, bermaksud punca sebenar tidak diketahui. Oleh itu, ibu bapa tidak seharusnya menyalahkan anak kerana postur duduk atau penggunaan beg berat sebagai punca kelengkungan tulang belakang.

Jika dikesan lebih awal, sesetengah kes boleh diuruskan tanpa pembedahan. Antara pendekatan yang digunakan termasuk pemakaian pendakap khas, senaman fisioterapi khusus dan pemantauan berkala ketika anak membesar.

Pembedahan pula biasanya dipertimbangkan apabila lengkungan menjadi lebih serius, lazimnya melebihi 45 darjah atau terdapat perkembangan dan ketidakseimbangan yang ketara.

“Menunda rawatan yang sepatutnya boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk yang mana pilihan rawatan mungkin menjadi lebih kompleks,” ujarnya lagi.

Jadi, ibu bapa boleh lebih peka ketika melihat anak berdiri, berjalan atau membongkok ke hadapan. Perhatikan jika bahu tidak seimbang, pakaian kelihatan senget, tulang rusuk lebih menonjol pada satu sisi, badan condong atau pelvis kelihatan tidak seimbang.

Pemerhatian mudah melalui Adam’s Forward Bend Test boleh membantu mengenal pasti tanda yang mencurigakan, namun pemeriksaan profesional tetap disarankan sekiranya terdapat kebimbangan.

Paling penting, jangan tunggu sehingga anak mengadu sakit. Kenali perubahan kecil lebih awal boleh membuka ruang kepada pemantauan dan rawatan yang lebih sesuai ketika si kecil masih dalam fasa membesar.