KALAU kereta sudah berkali-kali buat hal di tengah jalan, memang ramai yang akan pilih untuk angkat tangan dan kata, “Sudah-sudahlah, jual sajalah!”
Namun, lain pula ceritanya bagi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha yang nampaknya masih belum rela berpisah dengan sebuah Proton Satria kesayangannya.
Terbaharu, perkongsian seorang individu dikenali sebagai shahzrilahmad89 membantu Zaquan ‘jump-start’ kereta miliknya yang tersadai di sebuah stesen minyak mencuri perhatian ramai.
Video rakaman dashcam kejadian tersebut kemudian tular di media sosial sehingga sampai ke pengetahuan isterinya, pelakon Ayu Raudhah.
Apa yang mencuit hati, bapa kepada tujuh cahaya mata itu turut berkongsi satu rakaman suara daripada isteri kesayangannya itu menerusi Threads miliknya.
Dalam rakaman tersebut, Ayu kedengaran membebel kepada suaminya kerana masih menyimpan kereta berkenaan yang menurutnya sudah terlalu lama dan kerap mengalami kerosakan.
“Orang kata jual tak mahu, ketegaq!” bebel Ayu dengan loghat Utara yang pekat.
Rupa-rupanya, kereta berkenaan bukan sekali dua meragam, malah sudah beberapa kali tersadai di tengah jalan sehingga memaksa pasangan itu mendapatkan bantuan orang ramai.
‘Perempuan tidak akan faham apa itu barey’
Menariknya, Zaquan pula mempunyai alasan tersendiri untuk terus mempertahankan kereta nostalgia tersebut.
Menerusi kapsyen hantaran sama, bekas penyerang Harimau Malaya itu membalas bebelan isterinya secara berseloroh.
"Demo tok kenal bareyyyyy,” tulisnya sambil membalas bebelan isterinya itu secara berseloroh.
Jawapan Zaquan itu ternyata mengundang gelak tawa pengikut yang rata-ratanya dapat mengaitkan situasi tersebut dengan kehidupan sendiri.
Bagi sesetengah lelaki, kereta lama bukan sekadar kenderaan, sebaliknya menyimpan kenangan yang membuatkan hati berat untuk melepaskannya.
Tidak hairanlah, ruangan komen hantaran tersebut dipenuhi netizen yang berkongsi pengalaman hampir sama apabila pasangan masing-masing sukar berpisah dengan kenderaan kesayangan.
“Demo tak kenal barey, bang! Hahahahaha. Itu kalau jual, susah nak dapat balik tau. Kak, jangan main gilerrr.”
“Ha ha ha, bini-bini memang macam ni. Aku tak faham kenapa laki aku nak simpan lagi kete tahun gajah dia tu.”
“‘Kete kuda’ hahahahaha. Aku pun banyak kali suruh husband aku jual moto kuda dia. Sekali lagi rosak, aku humban. Tengoklah.”
“Kah kah kah... Aku yang Satria Neo ni pun hadap nasib yang sama, kena bebel suruh jual walaupun tak breakdown... Inikan pula kalau dah breakdown.”
“Ahaha adoii, bingit uiii. Menusuk. Kobarannya macam dia ni harta pusaka dan adat. Tak boleh sebarangan jual.”
Gelagat Zaquan dan Ayu itu akhirnya menjadi hiburan buat netizen, lebih-lebih lagi apabila isu ‘kereta lama yang enggan dijual’ sememangnya dekat dengan kehidupan ramai pasangan.
Nampaknya, dalam rumah tangga, soal kereta nostalgia pun boleh jadi satu lagi medan untuk suami isteri saling bertegas, seorang mahu jual, seorang lagi tetap dengan pendirian, “Perempuan tidak akan faham apa itu barey.”