Lebih 2,000 karya sepanjang lima dekad, Magnum Opus angkat legasi muzik M. Nasir

Iklan

LIMA dekad berkarya bukan sekadar tentang berapa banyak lagu yang telah dihasilkan, tetapi sejauh mana karya itu mampu terus hidup dan berbicara dengan generasi berbeza.

Itulah yang menjadikan perjalanan seni Datuk M. Nasir cukup istimewa. Bermula pada 1979 hingga 2026, beliau bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi, malah turut mencipta nama sebagai komposer, penulis lirik dan penerbit dengan lebih 2,000 karya muzik sepanjang kerjayanya.

Iklan
Iklan

Kini, perjalanan panjang itu diterjemahkan menerusi Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 yang mengangkat keseluruhan legasi, karya dan pemikiran seorang seniman yang sudah lima dekad berada dalam dunia muzik.

Istilah magnum opus sendiri berasal daripada bahasa Latin yang membawa maksud karya terpenting seseorang seniman.

Iklan

Namun bagi komposer dan penyanyi tersohor itu, ia seolah-olah membawa makna lebih luas kerana legasinya bukan terletak pada satu karya semata-mata, sebaliknya terbina daripada himpunan lagu, puisi, pemikiran dan pendekatan kreatif yang merentasi zaman.

Iklan

30  KARYA  DALAM  BENTUK  BERBEZA

Meneruskan kesinambungan Magnum Opus Siri 1: Kembara Ke Solo pada 2017 dan Magnum Opus Siri 2: Search, Wings & Rock ’N’ Roll pada 2019, edisi Dekad Ke-5 memberi tumpuan kepada 30 karya pilihan M. Nasir.

Kali ini, karya berkenaan diberi tafsiran baharu menerusi susunan simfoni bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Susunan muzik oleh Mohd Rafi Shafie dan pimpinan OSK oleh Eric Lee Yin Fah bakal memperlihatkan sisi berbeza lagu-lagu yang selama ini begitu dekat dengan pendengar.

Persembahan berdurasi kira-kira 150 minit itu bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 Disember 2026, jam 8.30 malam.

Menariknya, pendekatan artistik produksi turut mengambil inspirasi daripada elemen surrealisme, falsafah dan simbolisme yang sinonim dengan dunia kreatif M. Nasir.

Justeru, persembahan itu tidak hanya melihat lagu sebagai hiburan, tetapi sebagai karya yang mempunyai cerita, lapisan makna dan perjalanan pemikiran di sebaliknya.

Penerbit Eksekutif Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5, Keon Omar berkata, usaha tersebut antara lain mahu memastikan karya seni M. Nasir terus dikenali oleh generasi yang datang kemudian.

“Penganjuran ini diharap dapat terus memelihara dan mengangkat warisan seni muzik Melayu, di samping membuka ruang kepada generasi pemuzik dan pencipta muda untuk mengenali serta menghargai kedalaman karya seorang tokoh yang telah memberikan sumbangan besar kepada industri muzik tanah air,” katanya.

LEGASI  YANG  MELANGKAUI  ZAMAN

Sepanjang perjalanan seninya, M. Nasir menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Planet Muzik serta pengiktirafan MACP sebagai antara pencipta lagu terunggul negara.

Namun, barangkali ukuran paling besar terhadap seorang seniman bukanlah jumlah anugerah yang tersusun di rak, tetapi karya yang masih dicari dan didengar setelah bertahun-tahun berlalu.

Dalam konteks M. Nasir, lagu-lagunya terus menjadi sebahagian daripada ingatan pendengar, malah dinyanyikan semula oleh generasi yang mungkin tidak melalui zaman ketika karya itu mula diperkenalkan.

Sebab itu Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 lebih daripada sekadar mengimbau masa lalu.

Ia menjadi ruang untuk melihat semula bagaimana muzik, lirik dan pemikiran seorang seniman berkembang bersama perubahan zaman dan mengapa karya tertentu masih mempunyai tempat dalam hati pendengar hingga hari ini.

Selain persembahan, beberapa program turut diadakan di ruang legar Istana Budaya termasuk pameran dan jualan karya seni kanak-kanak serta sesi bual bicara berkaitan penerbitan buku mengenai karya muzik M. Nasir.