‘Mak tak sekat apa saya nak buat’ – Khairul Aming kongsi doa ibu, pesan tentang kejayaan anak & jawab isu kahwin

Iklan

BAGI sesetengah ibu bapa, kejayaan anak mungkin sering diukur melalui keputusan akademik, kerjaya dan pencapaian yang boleh dibanggakan. Namun bagi pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming, ukuran kejayaan itu sebenarnya jauh lebih luas.

Di sebalik pencapaiannya hari ini, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, melihat sokongan dan doa ibu sebagai antara perkara yang membentuk dirinya sehingga berada di tahap sekarang.

Iklan
Iklan

Menariknya, ketika seorang netizen meminta usahawan Sambal Nyet itu berkongsi amalan atau doa yang sering diamalkan ibunya untuk dirinya, figura yang mesra disapa KA tersebut  dalam satu perkongsian di media sosial mengakui tidak mengetahui secara khusus apa yang dipanjatkan wanita itu.

Pun demikian, dia percaya doa seorang ibu pastinya mengharapkan yang terbaik buat anak, termasuk agar segala urusan dipermudahkan ketika mengejar impian.

Iklan

“Saya pun tak tahu mak saya doa apa tapi saya rasa mak saya doakan supaya urusan anaknya dipermudahkan,” katanya.

Namun, perkongsian itu kemudian membawa kepada satu nasihat yang lebih besar mengenai cara ibu bapa membesarkan anak.

Iklan

Menurut nak jati Kelantan itu lagi, ibu bapa tidak seharusnya terlalu menetapkan ‘template’ kejayaan untuk anak-anak kerana setiap individu mempunyai minat, kemampuan dan jalan hidup yang berbeza.

“Kadang-kadang kita nak anak ikut template kejayaan yang kita nak. Tapi kita kena ingat dia one day, dia akan jadi dewasa. Dia akan carry hidup dia,” ujarnya.

Amalan ibu

Baginya, anak yang ditempatkan dalam persekitaran yang diminati akan mempunyai peluang lebih besar untuk berkembang mengikut potensi diri.

Jelas KA lagi, jika anak dipaksa berada dalam bidang atau persekitaran yang tidak diminati, mereka mungkin sukar untuk menyerlah walaupun mempunyai kemampuan.

“Kalau kita letak anak kita dalam environment yang dia suka, yang dia passion, dia minat, dia akan mekar setinggi yang boleh. Itu je,” katanya.

Malah, dia menyifatkan perkara tersebut sebagai antara pendekatan yang diamalkan ibunya ketika membesarkan dirinya.

Menurut jejaka berusia 33 tahun itu lagi, ibunya tidak terlalu menyekat perkara yang ingin dilakukan, sebaliknya memberikan ruang untuk dia memilih hala tuju yang dirasakan sesuai.

“Biar kita bangga anak kita jadi manusia berguna. Jangan kita bangga berdasarkan kejayaan dia on paper sahaja,” katanya.

Bukan semua kejayaan boleh diukur atas kertas

Perkongsian Khairul Aming itu turut menyentuh satu perkara yang sering berlaku dalam keluarga iaitu kecenderungan membandingkan kejayaan anak berdasarkan pencapaian akademik atau kerjaya.

Baginya, seseorang yang cemerlang di atas kertas belum tentu mempunyai nilai yang baik dalam kehidupan, begitu juga individu yang tidak begitu menyerlah dari sudut akademik tidak semestinya gagal dalam kehidupan.

“Ramai juga yang on paper tak perform tapi dia yang jaga kita sampai ke hujung,” katanya.

Pandangan itu barangkali menjadi sebab mengapa Khairul Aming melihat pengalaman dan kisah daripada jutaan pengikutnya sebagai satu bentuk pembelajaran.

Menurutnya, sebagai individu yang mempunyai jumlah pengikut yang besar, dia terdedah kepada pelbagai kisah kehidupan dan pengalaman orang lain.

“Saya dah terdedah dengan jutaan kisah orang. So banyak benda saya belajar. There's a lot for me to learn,” katanya.

Persoalan tentang jodoh

Dalam perkongsian sama, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Vanderbilt, Nashville, Tennessee, Amerika Syarikat turut disentuh mengenai persoalan jodoh yang sering menjadi perhatian netizen.

Meskipun sebelum ini pernah dikaitkan dengan persoalan bila mahu berkahwin, dia secara berseloroh menjelaskan bahawa belum ada masa untuk memikirkan soal tersebut kerana kesibukan dengan kehidupan dan kerjaya.

“Tak ada maknanya nak kahwin, nak kahwin macam mana dating pun tak ada masa,” katanya sambil tertawa.

Pemenang Creator of the Year pada TikTok Awards Malaysia 2023 itu turut menjelaskan, proses mengenali pasangan bukan sesuatu yang boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

“Tak bolehlah kan. Kenalah taaruf dulu kan, tapi saya ni tidur pun tak cukup masa,” ujarnya secara berseloroh.

Sebelum ini, penerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya 2025 sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2025/1447H itu juga pernah terbuka mengenai soal perkahwinan dan mengakui belum mempunyai calon, selain mahu memberi tumpuan kepada urusan kerjaya serta perniagaannya.

Justeru, di sebalik gurauan tentang jodoh, perkongsian terbaharu Khairul Aming sebenarnya lebih banyak mengangkat satu mesej penting tentang keluarga — kejayaan anak bukan semata-mata tentang apa yang mampu dicapai, tetapi juga siapa dirinya apabila membesar.

Dan mungkin itulah ‘doa’ paling besar seorang ibu, bukan anak perlu menjadi seperti yang diimpikan orang lain, tetapi dipermudahkan untuk menjadi versi terbaik dirinya sendiri.