PELAKON veteran Sabri Yunus menyambut pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sabri yang kembali menyambung pengajian selepas lebih empat dekad akhirnya tercapai apabila beliau menerima tawaran Program Sarjana Pendidikan Kesusasteraan Melayu.
Dalam kenyataan hari ini, UPSI memaklumkan Sabri, 65, menerima tawaran itu melalui laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Award of Qualifications (APEL.Q).
Menurut kenyataan itu, Sabri berkata peluang itu amat bermakna selepas dua percubaannya untuk menyambung pengajian di universiti sebelum ini tidak kesampaian, iaitu ketika beliau berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1980-an dan awal 1990-an.
"Saya sebenarnya telah dua kali berusaha untuk menjadi pelajar di universiti semenjak masuk ke DBP pada 1982 sebagai pelukis, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana kekangan untuk meninggalkan pekerjaan," katanya.
Katanya lagi, meskipun gagal menyambung pengajian secara formal, proses menimba ilmu tidak pernah terhenti kerana menganggap setiap individu yang ditemuinya sebagai guru yang boleh memberikan manfaat dan pengalaman.
Menerusi pengajian APEL.Q, beliau mahu menjalankan kajian mengenai pantun khusus dalam dikir barat, termasuk menjelaskan fungsi dan makna sebenar istilah"tukang karut" yang sering disalah fahami masyarakat.
Difahamkan, pelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu mengikuti Program Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu melalui laluan sama, dengan kedua-duanya menjadi pelajar rintis bagi program yang dibangunkan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.
Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kehadiran Sabri dan pengacara terkenal, Fedtri Yahya sebagai warga universiti memberi peluang kepada warga UPSI untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang seni, bahasa serta budaya.
Jelasnya, pengalaman tokoh berkenaan juga penting dalam membantu usaha membina semula jati diri budaya bangsa, khususnya menerusi interaksi mereka dengan kira-kira 25,000 pelajar UPSI yang bakal menjadi guru dan berperanan membentuk generasi muda.
Sumber: Bernama