KUIH bulan antara sajian yang cukup sinonim dengan tradisi masyarakat Cina.
Lebih daripada sekadar pencuci mulut, kuih ini sering dikaitkan dengan momen berkumpul bersama keluarga dan sahabat, sambil menikmati cahaya bulan serta kemeriahan perayaan.
Mengangkat semangat tersebut, OVERSEA memperkenalkan koleksi kuih bulan bagi sambutan Pesta Pertengahan Musim Luruh 2026 menerusi “The Moonlight Collection”, yang menggabungkan cita rasa tradisional dengan sentuhan moden.
Menariknya, koleksi kali ini tidak hanya mengetengahkan kuih bulan dengan inti klasik, sebaliknya turut menampilkan pilihan berinspirasikan pastri gaya Momoyama dan kuih bulan kulit salji atau snow skin.
Pendekatan itu memberikan lebih banyak pilihan kepada mereka yang gemarkan rasa baharu, khususnya generasi muda yang mungkin lebih terbuka untuk mencuba kombinasi perisa yang berbeza.
Tiga perisa baharu
Antara tiga perisa baharu yang diperkenalkan ialah Momoyama Peach Tea Cream Cheese Mooncake, yang menggabungkan aroma teh pic bersama inti keju berkrim dalam pastri lembut.
Bagi peminat rasa manis yang lebih berkaramel, Momoyama Toffee Caramel Mooncake pula mengetengahkan gabungan toffee dan karamel yang dikatakan seimbang tanpa rasa terlalu berat.
Sementara itu, Snowy Mango Boba Mooncake tampil dengan kulit salji yang lembut dan kenyal, dipadankan dengan rasa mangga serta bebola boba yang memberikan tekstur berbeza pada setiap gigitan.
Selain perisa baharu, koleksi tersebut turut mengekalkan beberapa pilihan kuih bulan gaya Momoyama seperti Chocolate Lava Mooncake dan Matcha Red Bean Mochi Mooncake.
Bagi peminat kuih bulan kulit salji pula, antara pilihan yang diketengahkan termasuk Snowy Hazelnut Chocolate Ganache Mooncake dan Snowy Noble Delight with Mango Mooncake.
Dalam pada itu, beberapa perisa ikonik OVERSEA seperti Shanghai with Single Yolk, Golden Starlight with Single Yolk dan Noble Delight with Single Yolk turut kembali sebagai sebahagian daripada koleksi tahun ini.
Apa yang menarik tentang tradisi kuih bulan ialah bagaimana sesuatu sajian mampu membawa lebih daripada satu cerita.
Daripada resipi yang diwarisi, pilihan inti yang sentiasa berkembang hinggalah cara ia diberikan sebagai buah tangan, kuih bulan terus menjadi sebahagian daripada momen untuk duduk semeja dan meluangkan masa bersama insan tersayang.
Mungkin sebab itu, setiap kali musim perayaan ini tiba, sekotak kuih bulan bukan sekadar berisi manisan tetapi turut membawa bersama nilai kebersamaan, penghargaan dan tradisi yang terus diraikan dari satu generasi ke generasi seterusnya.