Bukan sekadar makan, Kayangan bawa pengalaman budaya Nusantara ke pentas moden

Iklan

KALAU bercakap tentang warisan Melayu, perkara pertama yang terlintas di fikiran mungkin pakaian tradisional, muzik, tarian atau makanan.

Namun, bagaimana kalau semua elemen itu disatukan dalam satu pengalaman yang boleh dinikmati sambil duduk makan dan menonton persembahan?

Iklan
Iklan

Itulah pendekatan yang diketengahkan menerusi Kayangan, sebuah pengalaman santapan budaya yang mengangkat kekayaan warisan masyarakat Melayu dan rantau Nusantara.

Berlangsung di Aneka Walk, SA Sentral, Shah Alam, Kayangan diperkenalkan menerusi produksi sulungnya, Hikayat Nusantara, terbitan KRU Studios.

Iklan

Menariknya, persembahan ini mengambil inspirasi daripada seni tradisional Wayang Kulit, sebelum diterjemahkan ke dalam bentuk persembahan kontemporari dengan gabungan penceritaan, muzik, Silat dan teknologi digital imersif.

Iklan

Hasilnya, kisah mengenai sejarah dan budaya Nusantara tidak hanya disampaikan menerusi cerita, tetapi turut diterjemahkan melalui visual, bunyi dan pergerakan di atas pentas.

Menghidupkan semula kisah Nusantara

Hikayat Nusantara membawa penonton menyusuri pelbagai kisah yang dekat dengan sejarah dan identiti masyarakat Melayu.

Antaranya termasuk kebangkitan kerajaan-kerajaan Melayu, perjalanan pelayar legenda merentasi lautan silam serta seni Silat yang sinonim dengan keberanian dan jati diri masyarakat Melayu.

Tradisi Wayang Kulit dan Tok Dalang turut menjadi sebahagian daripada perjalanan persembahan sebelum kisahnya bergerak kepada realiti Malaysia masa kini yang kaya dengan kepelbagaian budaya.

Apa yang menarik, unsur tradisional itu tidak dipersembahkan dalam bentuk yang terlalu konvensional.

Sebaliknya, penggunaan paparan LED, sistem bunyi keliling dan pencahayaan pentas profesional memberikan sentuhan moden kepada kisah yang sudah lama menjadi sebahagian daripada warisan Nusantara.

Pendekatan sebegini menjadikan seni tradisional dilihat daripada sudut yang berbeza, terutama untuk generasi yang mungkin lebih biasa dengan pengalaman hiburan berasaskan teknologi.

Selain persembahan, makanan turut memainkan peranan penting dalam pengalaman Kayangan.

Menerusi Santapan Kayangan, tetamu disajikan bufet tradisional Melayu yang dikurasikan oleh Datuk Cef Zam dengan inspirasi daripada menu serta resipi yang diwarisi turun-temurun.

Di sinilah makanan dilihat bukan sekadar hidangan untuk mengisi perut, tetapi sebagai satu lagi cara untuk mengenali budaya.

Setiap masakan mempunyai cerita dan kenangan tersendiri, terutama apabila ia mengingatkan kita kepada sajian yang pernah dinikmati bersama keluarga atau resipi yang diwariskan dari satu generasi kepada generasi seterusnya.

Seperti yang dikongsikan cef Zam, makanan menjadi antara cara paling indah untuk menyatukan manusia kerana setiap resipi membawa kenangan, manakala setiap cita rasa mencerminkan warisan.

Saling melengkapi

Jadi, pengalaman Kayangan sebenarnya bergerak dalam dua arah yang saling melengkapi.

Apa yang dilihat dan didengar membawa kita mengenali kisah Nusantara, manakala apa yang dirasai pula memperkenalkan kekayaan tradisi kulinari Melayu.

Konsep Kayangan dibangunkan bukan sekadar sebagai persembahan budaya atau santapan malam, sebaliknya menggabungkan kedua-duanya sebagai satu pengalaman yang lebih menyeluruh.

Dalam dunia yang semakin moden, pendekatan seperti ini memberi ruang kepada warisan tradisional untuk terus dikenali dan dihargai dalam bentuk yang lebih dekat dengan masyarakat hari ini.

Pada masa sama, ia membuka peluang untuk memperkenalkan budaya Malaysia dan Nusantara kepada pengunjung dari luar negara melalui sesuatu yang universal cerita, seni dan makanan.