“Saya bukan gemuk pun, cuma perut sedikit buncit.”
Ayat begini mungkin biasa kita dengar, malah ada yang menganggap keadaan tersebut tidak perlu terlalu dirisaukan selagi berat badan masih dalam julat yang dirasakan normal.
Namun, hakikatnya kesihatan tidak boleh diukur berdasarkan angka pada penimbang atau apa yang kelihatan di cermin semata-mata. Lokasi lemak tersimpan dalam badan juga penting, terutama apabila ia berkumpul di bahagian abdomen.
Di Malaysia, isu obesiti abdomen semakin mendapat perhatian. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 54.5 peratus orang dewasa mengalami obesiti abdomen berdasarkan ukuran lilit pinggang, meningkat daripada 45.4 peratus pada 2011.
Jadi, apa sebenarnya yang berlaku apabila lemak banyak terkumpul di bahagian perut?
Secara mudahnya, terdapat perbezaan antara lemak yang berada di bawah kulit dengan lemak yang tersimpan lebih dalam di sekitar organ dalaman.
Lemak subkutaneus ialah lemak yang tersimpan di bawah kulit. Ia biasanya lebih mudah dilihat atau disentuh, termasuk di bahagian perut, pinggul dan paha.
Sebaliknya, lemak viseral berada lebih jauh di dalam rongga abdomen dan mengelilingi organ dalaman. Lebihan lemak ini dikaitkan dengan pelbagai risiko kesihatan termasuk rintangan insulin, diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, penyakit kardiovaskular dan keradangan kronik.
Lebih penting, seseorang tidak semestinya kelihatan sangat berlebihan berat badan untuk mempunyai lebihan lemak abdomen atau lemak viseral.
Sebab itu, melihat angka pada penimbang sahaja mungkin tidak cukup untuk mengetahui keadaan kesihatan sebenar seseorang.
“Ramai fikir kalau berat badan tidak terlalu tinggi, tiada sebab untuk bimbang. Tetapi berat badan sahaja tidak menceritakan keseluruhan keadaan.
“Obesiti abdomen boleh menjadi petanda penting kepada risiko metabolik yang tersembunyi. Jadi, kita perlu melihat lebih daripada sekadar berapa kilogram yang berjaya diturunkan, termasuk ukuran lilit pinggang, komposisi badan, sejarah kesihatan dan kesihatan metabolik,” kata Dr Foo Wing Jian, Doktor Estetik Kanan dan pemegang LCP di Premier Clinic.
Turun berat bukan sekadar soal tahan lapar
Dalam usaha menurunkan berat badan pula, ramai mungkin beranggapan semuanya bergantung kepada disiplin. Makan kurang, bersenam lebih dan berat pasti turun.
Tetapi tubuh manusia sebenarnya jauh lebih kompleks daripada itu.
Badan mempunyai mekanisme biologi tersendiri yang mengawal rasa lapar, kenyang, pengambilan makanan dan berat badan. Ketika seseorang mula menurunkan berat, perubahan selera makan serta proses fisiologi tertentu boleh menyebabkan berat yang sudah hilang sukar dikekalkan dalam tempoh panjang.
Sebab itu tidak pelik jika ada individu yang mengalami kitaran turun berat badan, kemudian berat kembali meningkat.
Pemakanan seimbang, aktiviti fizikal, tidur mencukupi dan perubahan tingkah laku kekal menjadi asas penting dalam pengurusan berat badan. Namun, bagi sesetengah individu, usaha berkenaan mungkin memerlukan sokongan perubatan tambahan.
Antara pendekatan yang semakin mendapat perhatian ialah pengurusan berat badan secara perubatan, iaitu keadaan kesihatan dan risiko berkaitan berat badan seseorang dinilai terlebih dahulu sebelum rawatan yang sesuai dipertimbangkan.
Salah satu perkembangan dalam bidang ini ialah Mounjaro (tirzepatide), ubat preskripsi yang digunakan sekali seminggu di bawah pemantauan doktor.
Tirzepatide bertindak melalui dua laluan hormon, iaitu GIP dan GLP-1, yang memainkan peranan dalam pengawalan selera makan, pengambilan makanan dan metabolisme glukosa.
Bagi pesakit yang sesuai, rawatan ini boleh membantu mengurangkan selera makan dan meningkatkan rasa kenyang. Apabila digabungkan dengan perubahan gaya hidup yang sesuai, ia boleh menyokong pengurangan pengambilan makanan dan penurunan berat badan.
“Ubat seperti tirzepatide mengubah cara kita melihat obesiti kerana ia menyasarkan sebahagian laluan biologi yang berkaitan dengan selera makan dan metabolisme.
“Namun, Mounjaro ialah rawatan preskripsi dan penggunaannya perlu dibuat selepas penilaian perubatan yang sewajarnya serta di bawah pemantauan profesional kesihatan yang berkelayakan,” jelas Dr Foo.
Dalam masa sama, populariti ubat penurunan berat badan turut menjadikan pendidikan kepada masyarakat semakin penting.
Bukan semua individu yang mahu menurunkan berat badan sesuai mengambil ubat preskripsi. Faktor seperti BMI, ukuran lilit pinggang, keadaan kesihatan sedia ada, ubat yang sedang diambil, kesihatan metabolik, gaya hidup dan matlamat rawatan individu perlu dipertimbangkan.
Akhirnya, pengurusan berat badan bukan sekadar mengejar tubuh yang lebih kurus atau angka lebih rendah pada penimbang.
Apa yang lebih penting ialah memahami keadaan tubuh sendiri dan mencari pendekatan yang selamat, sesuai serta boleh dikekalkan dalam jangka panjang.
Dengan penilaian perubatan, perancangan rawatan panduan gaya hidup dan pemantauan profesional, pengurusan berat badan boleh dilakukan secara lebih menyeluruh, bukan hanya untuk nampak lebih ringan, tetapi demi kesihatan yang lebih baik.