DI sebalik kejayaan seorang lelaki pasti ada seorang wanita di belakangnya. Pelawak dan penyampai radio Ajak Shiro mengakui kehadiran isterinya, Nur Afifah Amin merupakan tunjang utama serta pembawa keberkatan dalam setiap rezeki dan kejayaan yang dikecapinya hari ini.
Menerusi hantaran di Instagram, penyampai Suria FM berkenaan tersentuh selepas mendengar luahan hiba seorang pemanggil wanita yang menjadi mangsa penganiayaan suami sendiri akibat gelap mata dengan kemewahan.
Menurut Ajak, atau nama sebenarnya Mohamad Hanaffi Razak, kisah duka wanita yang dipukul dan ditinggalkan suami selepas dinaikkan gaji RM5,000 itu wajar dijadikan iktibar besar buat golongan lelaki agar tidak bersikap sombong apabila mula mengecap kesenangan.
"Kepada para suami, kadang kejayaan yang kita ada ni bukan sebab kita pun...
Tidak hanya menitipkan pesanan, bekas anggota kumpulan Shiro itu turut mengambil kesempatan meluahkan rasa cinta dan hargai yang mendalam terhadap isterinya yang sentiasa menjadi 'pelabuhan' paling damai buat dirinya.
"Afifah, sejauh mana pun saya pergi, kamulah tempat paling tenang untuk saya pulang.
"Semoga saya dijauhkan dari mengkhianati dia... Doakan kami, insya-ALLAH. Semoga doa yang baik-baik kembali pada anda semua," tulisnya lagi.
Sikap rendah diri Ajak yang memohon doa warganet agar rumah tangganya sentiasa terpelihara daripada ujian kesetiaan menerima pujian. Mereka rata-ratanya mendoakan kebahagiaan pasangan berkenaan kekal hingga ke jannah.
Untuk rekod, Ajak dan Afifah mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2009 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.