KEINDAHAN Langkawi bukan sekadar tentang pantai, laut dan matahari terbenam. Di sebalik tarikan alamnya, pulau legenda itu turut memiliki identiti tersendiri yang menjadikannya antara destinasi peranginan paling istimewa di Malaysia.
Menyedari keunikan itu, Hilton Burau Bay Langkawi Resort hadir dengan pendekatan yang cuba mengangkat wajah sebenar pulau berkenaan, bukan sekadar menawarkan tempat untuk bermalam.
Resort 251 bilik di bawah jenama Hilton Hotels & Resorts itu kini rasmi beroperasi sepenuhnya selepas melalui fasa pra-pembukaan pada Jun 2026.
Majlis perasmian rasminya berlangsung di Dewan Utama Orkid, Hilton Burau Bay Resort Langkawi, dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman.
Turut berangkat ialah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah; Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff, Tuanku Raja Puan Muda Kedah serta kerabat diraja Kedah.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama isteri, Tok Puan Hajah Jusmalailani binti Jusoh, selain wakil Tradewinds Corporation Berhad, pegawai kerajaan negeri dan tetamu korporat.
Perasmian itu turut membawa makna tersendiri selepas titah Sultan Kedah sempena Istiadat Sambutan Hari Keputeraan baginda ke-84 pada 5 Julai lalu yang menekankan kepentingan mengekalkan identiti Langkawi dalam pembangunan pulau tersebut.
“Kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisannya yang unik,” titah baginda ketika itu.
Pandangan berkenaan turut menjadi asas kepada pendekatan Tradewinds Corporation Berhad dalam membangunkan resort berkenaan.
Alam semula jadi Langkawi
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Pemangku) Tradewinds Corporation Berhad, Izmir Abdul Karim, Hilton Burau Bay Langkawi Resort dibangunkan untuk mencerminkan keperibadian Langkawi.
“Resort ini menepati seruan Tuanku, dibina untuk mencerminkan keperibadian pulau ini dan bukan meniru destinasi lain. Pembukaannya mencerminkan keyakinan kami yang berterusan terhadap Langkawi serta komitmen jangka panjang kami dalam menyokong pertumbuhan industri pelancongannya,” katanya.
Lebih menarik, kehadiran resort baharu itu bukan hanya dilihat dari sudut hospitaliti. Pelaburan tersebut turut membawa harapan untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, selain menyokong perniagaan tempatan dan ekosistem pelancongan di Langkawi serta Kedah.
“Komitmen kami tidak terhenti setakat membangunkan hotel. Melalui pelaburan kami, kami berhasrat untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang bermakna bagi masyarakat setempat, menyokong perniagaan tempatan serta ekosistem pelancongan yang lebih luas,” katanya.
Bagi Hilton pula, pembukaan resort berkenaan menambah satu lagi pilihan kepada pelancong yang mahu menikmati pengalaman hospitaliti bertaraf antarabangsa di Langkawi.
Naib Presiden Kawasan dan Ketua Asia Tenggara, Hilton, Alexandra Murray berkata, kehadiran resort itu membawa pengalaman jenama Hilton ke salah satu destinasi peranginan popular Malaysia.
“Dengan resort ini, kami menawarkan penanda aras baharu yang canggih bagi hospitaliti perkhidmatan penuh di Langkawi,” katanya.
Dengan latar alam semula jadi Langkawi serta kedudukannya sebagai sebahagian daripada Geopark Global UNESCO, kehadiran Hilton Burau Bay Langkawi Resort menambah satu lagi wajah kepada perkembangan industri pelancongan pulau berkenaan.
Pada masa sama, ia mencerminkan usaha untuk memastikan pembangunan hospitaliti terus bergerak seiring dengan identiti dan keistimewaan Langkawi.