SUDAH kurangkan makanan manis, jaga saiz hidangan, rajin bersenam serta cuba cukupkan tidur. Namun, bila naik atas penimbang, angka masih tidak berubah. Malah, berat meningkat.
Sebenarnya, berat badan tidak ditentukan oleh pemakanan dan senaman semata-mata. Tekanan yang berpanjangan juga boleh mempengaruhi hormon, selera makan dan cara tubuh menguruskan tenaga.
Menurut Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan dari Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD), Dr Chan Pei Lin dan Dr Ida Ilyani Adam, sistem hormon memainkan peranan penting dalam kawalan berat badan.
Antara hormon yang sering dikaitkan dengan tekanan ialah kortisol yang dihasilkan kelenjar adrenal.
Dalam keadaan tekanan singkat, kortisol membantu tubuh menyediakan tenaga dengan memastikan glukosa tersedia untuk otak. Namun, apabila tekanan berlaku berulang kali dan berpanjangan, kesannya boleh menjadi berbeza.
“Lebihan kortisol yang berpanjangan boleh menyumbang kepada rintangan insulin dan peningkatan paras glukosa dalam darah. Kortisol juga menggalakkan penguraian protein dan mengubah metabolisme lemak,” jelas Dr Pei Lin.
Apabila keadaan itu berlaku bersama rintangan insulin dan pengambilan kalori berlebihan, lemak lebih mudah terkumpul di bahagian abdomen.
Lebih penting, lemak di perut bukan sekadar isu penampilan. Lemak viseral, iaitu lemak yang terkumpul di sekitar organ dalaman, dikaitkan dengan rintangan insulin, tekanan darah tinggi dan masalah kolesterol.
Sebab itu, ukuran lilit pinggang juga penting selain berat badan dan BMI.
Namun, jangan terus menyalahkan kortisol. Tubuh mempunyai sistem kompleks. Insulin membantu mengawal gula dalam darah dan penyimpanan tenaga, manakala leptin menghantar isyarat kenyang kepada otak.
Obesiti abdomen
Menurut Dr Ida, rintangan terhadap hormon ini boleh dipengaruhi oleh lebihan lemak abdomen, kurang aktiviti fizikal, pemakanan tidak sihat dan tidur yang tidak mencukupi.
Genetik, usia, ubat-ubatan dan masalah kesihatan juga boleh memainkan peranan.
“Perubahan ini bukan sekadar soal kemahuan atau kawalan diri. Kawalan berat badan dipengaruhi oleh pelbagai faktor biologi dan persekitaran,” katanya.
Masalah berat badan bukan perkara kecil di Malaysia. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati 54.4 peratus orang dewasa mengalami berat badan berlebihan atau obes, manakala 54.5 peratus mengalami obesiti abdomen.
Tiroid kurang aktif memang boleh menyebabkan keletihan dan sedikit pertambahan berat badan, tetapi ia bukan punca bagi kebanyakan kes.
Doktor mungkin menilai sindrom cushing, iaitu gangguan akibat lebihan kortisol.
Namun, berat naik sahaja tidak cukup untuk mengesahkannya. Tandanya termasuk lemak lebih banyak terkumpul di abdomen dan muka tetapi tangan serta kaki kekal kurus, mudah lebam, kesan regangan kulit berwarna ungu, kelemahan otot, tekanan darah tinggi atau perubahan paras gula.
“Perkara yang penting adalah gabungan dan corak simptom, bukannya satu tanda sahaja,” kata Dr Pei Lin.
Mencari cara sihat
Bagi kebanyakan orang, menguruskan tekanan bukan bermaksud mencari jalan pintas untuk ‘menurunkan kortisol’.
Sebaliknya, kembali kepada asas yang realistik, tidur berkualiti, pemakanan seimbang, kekal aktif dan mencari cara sihat untuk mengurus tekanan.
Berjalan kaki, melakukan aktiviti yang disukai, meluangkan masa di luar rumah atau mengamalkan teknik relaksasi boleh dimulakan.
“Perubahan yang boleh dilakukan secara konsisten dan dikekalkan dalam jangka panjang biasanya lebih bermanfaat berbanding pendekatan ekstrem yang hanya dilakukan untuk tempoh singkat,” nasihat kedua-dua pakar.
Jadi, kalau berat belum turun, jangan terus menghukum diri.
Jika berat meningkat dengan cepat atau berterusan selama beberapa minggu hingga bulan, jika disertai keletihan melampau, kelemahan otot, mudah lebam, tekanan darah atau paras gula berubah, dapatkan penilaian doktor.
Kadangkala, tubuh bukan meminta kita berusaha lebih keras. Ada isyarat lain yang perlu diperiksa.