EMPAT belas tahun melayari bahtera rumah tangga bukan sekadar tentang tempoh yang panjang, sebaliknya menyimpan pelbagai cerita, cabaran dan momen yang hanya difahami oleh pasangan yang melaluinya bersama.
Bagi penyanyi Black Hanifah, setiap perjalanan bersama isteri tercinta, Naquia Yasirah, mempunyai nilai tersendiri.
Sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-14, Black memilih untuk berkongsi sebuah foto yang cukup dekat di hatinya, selain menitipkan ucapan istimewa buat wanita yang selama ini menjadi teman hidupnya.
Menerusi hantaran di media sosial miliknya, Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah, menyifatkan foto tersebut sebagai ‘sempurna’ pada pandangannya.
Malah, pilihan gambar itu turut mempunyai simbolik tersendiri apabila penyanyi berusia 39 tahun itu mengaitkannya dengan persoalan tentang mengapa Naquia menjadi insan pilihannya dalam kehidupan.
“Daddy tahu, mummy mesti tanya dalam banyak gambar, kenapa gambar ni? Sama macam kita... dalam banyak pilihan, kenapa mummy?," ungkapnya.
Bapa kepada dua cahaya mata itu kemudian menjelaskan bahawa gambar berkenaan mempunyai makna tersendiri buat dirinya.
“Gambar ni di mata daddy perfect! Sama macam mummy... di mata daddy perfect," ungkap penyanyi Teman Pengganti itu lagi.
Di sebalik ucapan ulang tahun perkahwinan itu, Black turut membuka sedikit sisi kehidupan mereka yang mungkin tidak diketahui ramai.
Menurutnya, apa yang dilihat orang luar tidak semestinya menggambarkan keseluruhan perjalanan yang dilalui mereka sebagai pasangan.
“Orang kata kita ni apa pun, yang pasti depa hanya boleh kata saja... tapi depa tak tahu apa-apa sebab kita dua ja yang hadap macam-macam sama-sama," ujarnya lagi.
Buat Black dan Naquia, perjalanan 14 tahun itu bukan hanya tentang meraikan hari bahagia, tetapi turut mengingatkan mereka kepada prinsip yang dipegang bersama dalam menjalani kehidupan.
Antaranya, tidak menganiaya orang lain, tidak mengambil hak atau wang orang serta tidak terlalu memikirkan pandangan mereka yang hanya melihat dari luar.
“Benda yang kita dua pegang... jangan aniaya orang, jangan ambil duit orang dan jangan kisah dengan orang. Dan sebenarnya banyak lagi,” tulisnya.
Menariknya, Black sempat menyedari kapsyen yang ditulisnya sudah mula kedengaran seperti sebuah puisi sebelum menutup perkongsian tersebut dengan nada bersahaja.
“...tapi sat lagi macam puisi pula kapsyen ni.
“Okey, malas taip banyak sebab tujuan post untuk anniversary kita... done!," ujarnya dengan nada berseloroh.
Perkongsian sederhana itu cukup menggambarkan satu perkara: selepas 14 tahun bersama, Black dan Naquia bukan hanya berkongsi detik manis, tetapi juga memahami sisi kehidupan yang mungkin tidak pernah terlihat oleh orang lain.
Selamat ulang tahun perkahwinan ke-14 buat Black Hanifah dan Naquia Yasirah.