SELEPAS sekian lama sibuk menguruskan pelbagai urusan, usahawan dan pencipta kandungan terkenal, Khairul Aming akhirnya meluangkan masa untuk membawa ibunya bercuti ke London, United Kingdom.
Menurut jejaka yang mesra disapa KA, ibunya sudah lama mengajak untuk bercuti, namun kesibukan dengan pelbagai urusan menyebabkan hasrat tersebut sering tertangguh.
Kali ini, beliau memilih untuk mengosongkan jadual bagi memenuhi permintaan insan yang selama ini banyak berkorban untuknya.
“Salam dari kota London.
“Mak dah lama ajak bercuti tapi anak dia tak pernah nak rehat. Kali ni kita kosongkan kalendar untuk bawa mak jalan-jalan,” ujarnya menerusi perkongsian di media sosial.
Menariknya, Khairul Aming turut membawa rakannya, Khairul Kemey, sepanjang percutian tersebut.
Bukan sekadar teman berjalan, Kemey turut bertindak sebagai ‘pemandu arah’ tidak rasmi dengan menggunakan Google Maps bagi membantu mereka sepanjang berada di kota berkenaan.
“Khairul Kemey cakap dia kena ikut sebab dia in charge baca Google Maps,” tulis pengasas produk Sambal Nyet itu ringkas di kapsyen.
Perkongsian tersebut ternyata mencuri perhatian ramai apabila menerima lebih 81,000 tanda suka, selain dihujani pelbagai komen netizen yang rata-rata terhibur dengan gelagat mereka.
Ada yang memuji Khairul Aming kerana meluangkan masa membawa ibunya bercuti, malah menyifatkan momen tersebut sebagai satu bentuk penghargaan buat insan tersayang.
“Dulu mak yang susun jadual hidup kita. Sekarang giliran kita kosongkan jadual untuk mak.”
“Alhamdulillah, rezeki dapat bahagiakan dan raikan mak. Sehebat mana pun perniagaan, senyuman seorang ibu itu berkat paling mahal.”
Tidak kurang juga yang mengusik Khairul Kemey kerana hanya perlu bertanggungjawab membaca Google Maps, tetapi berpeluang menjejakkan kaki ke London bersama mereka.
“Best jadi Kemey ni... baca Google Maps je dapat pergi London.”
Dalam pada itu, ada juga netizen yang mengaitkan percutian tersebut dengan persiapan perkahwinan Khairul Aming, termasuk spekulasi bahawa dia mungkin mengambil kesempatan membeli kelengkapan majlis di London.
“Okay, trip bawa mak sebelum menjadi raja sehari. Fahammm.”
“Hint: KA beli barang hantaran atau persiapan kahwin di London.”
Apa pun gurauan yang dilemparkan, perhatian utama netizen jelas tertumpu kepada momen Khairul Aming meluangkan masa bersama ibunya.
Lebih manis, ada yang turut memuji ibunya yang kelihatan ceria dan masih bersemangat menikmati percutian.
Bagi Khairul Aming, selepas bertahun-tahun sibuk mengejar urusan kerja dan perniagaan, mungkin sudah tiba masanya untuk memperlahankan langkah seketika dan mencipta lebih banyak kenangan bersama keluarga.