Kenapa kasut saiz betul masih rasa sempit? Ini kaitannya dengan bentuk kaki Asia

Iklan

PERNAH tak anda beli sepasang kasut yang saiznya memang tepat, tetapi bila dipakai rasa sempit di bahagian hadapan? Atau tali sandal bergesel hingga melecet? Situasi ini biasa sangat berlaku, kan? Ramai antara kita anggap perkara ini normal dan percaya dengan nasihat lama, “Pakai sahaja dulu, nanti bila dah selalu pakai, kasut itu akan jadi lembut dan selesa.”

Justeru, wajarkah kaki kita yang kena mengalah dan menyesuaikan diri dengan kasut, sedangkan sepatutnya kasut yang direka mengikut bentuk kaki kita?

Iklan
Iklan

Isu ini sebenarnya semakin mendapat perhatian dalam dunia gaya hidup dan kesihatan kaki. Pengasas jenama kasut Sunday Staples dari Singapura, Cherriann Wong berkata, ketidakselesaan semasa memakai kasut bukannya berpunca daripada masalah saiz semata-mata. 

Sebaliknya, bentuk asas acuan kasut itu sendiri mungkin langsung tidak direka mengikut bentuk kaki pemakainya sejak awal. Apabila sudut reka bentuk seperti kelebaran acuan dan kedudukan tali mula diberi penekanan, keselesaan tidak lagi perlu dikorbankan demi gaya.

Iklan

Topik keselesaan kaki ini bukan perkara remeh, terutamanya buat rakyat Malaysia yang aktif dan mempunyai mobiliti tinggi setiap hari. Kajian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mendapati warga kota menghabiskan purata 580 jam setahun dalam kesesakan lalu lintas, dengan purata masa perjalanan sekitar dua jam 15 minit sehari. 

Iklan

Itu belum mengira masa berjam-jam yang dihabiskan untuk berjalan di pusat membeli-belah, berdiri lama di majlis perkahwinan, atau bergerak dari satu mesyuarat ke mesyuarat lain dalam cuaca tropika kita yang panas serta lembap.

Sekiranya dalam aspek fesyen dan kecantikan kita sudah biasa dengan konsep Asian fit, seperti saiz baju dalam mengikut bentuk tubuh tempatan, bedak asas mengikut tona kulit Asia, serta produk penjagaan kulit khusus untuk cuaca lembap, kenapa tidak untuk kasut?

Secara saintifiknya, analisis tahun 2018 terhadap lebih sejuta imbasan kaki 3D dari Amerika Utara, Eropah, Asia, dan Australia yang dibentangkan pada persidangan 3DBODY.TECH mendapati masyarakat Asia secara purata mempunyai kaki yang lebih pendek tetapi lebih lebar berbanding panjangnya. 

Cabaran utama timbul apabila sebahagian besar acuan kasut di pasaran global masih dibangunkan berasaskan nisbah kaki pengguna Barat. Kesannya, walaupun anda memilih saiz yang betul berdasarkan panjang kaki, bahagian hadapan kasut tetap terasa sempit. Masalah ini lebih ketara pada rekaan yang kurang fleksibel seperti kasut balet atau sandal bertali.

Mujurlah, perubahan positif kini mula kelihatan dalam industri kasut Asia Tenggara. Beberapa jenama tempatan mula mengalih pendekatan dengan mereka bentuk acuan berdasarkan bentuk kaki orang Asia yang lebih lebar di bahagian hadapan. Penggunaan bahan yang lembut, fleksibel, serta mesra cuaca seperti linen kalis air, suede yang dirawat, dan mikrofiber cepat kering kini menjadi pilihan. 

Malah, perincian ergonomik seperti pelapik tambahan pada tumit dan pilihan tumit blok rendah turut diterapkan agar kasut selesa dipakai sepanjang hari tanpa menyakitkan kaki.

Oleh yang demikian, boleh dikatakan knsep Asian fit untuk kasut bukan sekadar strategi pemasaran, tetapi satu keperluan kesihatan dan keselesaan seharian. 

Sudah tiba masanya industri fesyen menghasilkan kasut yang direka khusus untuk kaki kita, dan bukannya memaksa kita menahan sakit demi sepasang kasut.