'Leftenan muda, mahasiswa terbaik' - Pernah tular dihalau dan dihina mak cik, pemuda buktikan rezeki anak kematian ibu

Iklan

PERNAH tular dicerca dengan kata-kata hinaan dua tahun lalu, pemuda Muhammad Zulhaziq Ikmal Zulkefli kembali viral baru-baru ini.

Meraih 1.7 juta tontonan di TikTok, pelajar tahun dua Sarjana Muda Linguistik Melayu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya itu meluahkan rasa syukur.

Iklan
Iklan

Benarlah kata orang, kita akan bangkit dan berjaya semula di hadapan mereka yang pernah mencuba untuk menjatuhkan, anak sulung daripada tiga beradik itu membuktikan hinaan bukan noktah dalam hidupnya untuk terus melakar kejayaan.

Haziq (tengah) bersama dua adiknya

Iklan

"Iya, hinaan ini pernah bergema tiga tahun yang lalu. Terima kasih untuk setiap kata-kata yang pernah dilontarkan. Walaupun pedih menghiris segala rasa di hati, walaupun sakitnya seakan-akan meruntuhkan seluruh harapan, namun ketahuilah bahawa setiap hinaan itulah mengajarkan diri ini untuk berdiri, bertahan dan terus melangkah, biarpun jalan yang ditempuh itu tidak sentiasa menjanjikan kemudahan," kongsinya.

Ketika dihubungi SinarPlus, Muhammad Zulhaziq Ikmal yang mesra disapa Haziq juga baharu menerima tauliah Leftenan muda daripada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) daripada pentauliahan di Universiti Malaysia Perlis.

Iklan

Artikel berkaitan: 

Tergamaknya! Asbab calar kereta, 3 beradik kematian ibu dihalau & dihina runtun hati warga maya

"Siapa sangka permulaan perjalanan di universiti yang tidak begitu baik dek kerana pemergian ibu, akhirnya berubah kepada pengakhiran yang begitu indah.

"Begitu banyak pencapaian, kejayaan dan kenangan yang dapat diraih dan dirasai sepanjang tiga tahun di sini. Mungkin inilah hikmah yang Tuhan janjikan.

"Setiap satu perkara ini sememangnya tidak mampu diraih tanpa doa dan semangat yang hadir daripada semua. Terima kasih kerana pernah menitipkan doa dan sentiasa memberi semangat tatkala diri ini rapuh, tatkala segalanya mulai goyah dan perjalanan rasa berat untuk diteruskan. Setiap doa, kata-kata dan sokongan yang diberikan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kisah ini.

Selepas kematian ibu dua tahun lalu, Haziq mendedahkan kini mereka tiga beradik kini tinggal sendiri dengan menyewa sebuah kediaman di Negeri Sembilan. Malah bekas pengasuh yang baik hati mengambil berat tentang mereka dan dianggap seperti ibu angkat.

"Sekarang kami tinggal di rumah sewa, mak angkat tidak tinggal bersama kami. Dia tengok-tengokkan adik-adik saya dab bantu serba sedikit dari segi makan minum dan sebagainya.

"Emak angkat kami itu ialah pengasuh adik bongsu sejak umurnya tiga bulan. Kami memang rapat, malah semasa ibu saya sakit pun dia banyak membantu kami sekeluarga," tuturnya.

Kisahnya kini menjadi inspirasi buat anak-anak muda yang pernah direndahkan dan berdepan ujian hidup, Haziq berpesan agar jangan menjadikan kata-kata orang sebagai alasan untuk berhenti mengejar impian.

'Walau sebesar mana pun ujian mahupun dugaan, percayalah akan ada perkara baik menanti kita di hadapan' - Haziq

"Walaupun kita merasakan diri kita runtuh hari ini, kita tetap kena tanamkan semangat dalam diri kita untuk bangkit berdiri dan terus melangkah hingga kita capai apa yang kita impikan sebelum ni,

"Setiap satu perkara yang kita lalui itu pasti ada hikmah yang telah ALLAH aturkan, hadapi saja dengan kesabaran nescaya kejayaan akan berpihak kepada kita insya-ALLAH!" kongsinya.

Buat masa ini, dia dan adiknya berdikari mencari wang bagi menampung perbelanjaan keluarga.

"Adik bongsu masih sekolah di Tingkatan Tiga manakala yang kedua berumur 21 tahun sudah bekerja.

"Saya ada juga bekerja sambilan sebagai penghantar makanan di sekitar universiti.

"Alhamdulillah ada elaun Palapes untuk bayar perbelanjaan seperti sewa rumah, elektrik dan air," kongsinya.

SinarPlus pada 2024 pernah berkongsi kisah sedih tiga beradik ini dihina selepas didakwa telah mencalarkan kereta milik wanita itu.

Lebih menyayat hati, peristiwa itu berlaku pada 1 Syawal, Haziq dan adik-beradiknya juga dihalau keluar dari rumah ketika hari raya Aidilfitri.

Video berdurasi 1 minit 51 saat itu memaparkan tangkap layar mesej perbualan dan audio remaja itu dan ibu saudaranya yang dihantar menerusi aplikasi Whatsapp.