Kulit melecur, jangan terus sapu ubat gigi! Pantai Hospital perkasa komuniti dengan panduan pertolongan cemas

Iklan

PERNAH tak anda mengalami situasi cemas di dapur apabila kuali tiba-tiba disambar api atau air panas melimpah terkena kulit? Dalam keadaan panik, ramai antara kita cenderung mencuba pelbagai 'petua' yang belum tentu selamat seperti menyapu ubat gigi, tepung, mahupun mentega pada bahagian yang terjejas.

Hakikatnya, tindakan pada beberapa minit pertama selepas berlakunya insiden melepuh atau melecur amat krusial dan mampu menentukan sejauh mana proses pemulihan kulit anda selepas itu.

Iklan
Iklan

Menyedari hakikat bahawa kecederaan akibat terbakar dan melecur kerap berlaku dalam kehidupan seharian tanpa diduga, Pantai Hospital Melaka dengan kerjasama Pantai Hospital Batu Pahat telah mengambil inisiatif menganjurkan Kempen Kesedaran Kecederaan Melecur 2026 di Batu Pahat Mall.

Program tersebut memfokuskan kepada pemerkasaan komuniti menerusi pengetahuan praktikal dan kemahiran asas pertolongan cemas apabila berdepan situasi kecemasan di rumah.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Melaka, Dr Kevin Khoo Teck Joon menegaskan betapa pentingnya kesedaran awal dalam kalangan masyarakat.

"Banyak kecederaan melecur berlaku dalam situasi biasa seharian, sama ada di rumah, di dapur, atau semasa kemalangan kecil. Disebabkan itulah pengetahuan tentang tindakan yang perlu diambil pada minit-minit awal tersebut amat penting.

Iklan

"Respons awal yang tenang dan betul mampu mengelakkan kecederaan melecur daripada menjadi lebih serius dan boleh mengubah proses pemulihan seseorang pesakit," ujar beliau.

Tambah pakar itu lagi, kepakaran klinikal hospital kini dibawakan terus kepada masyarakat agar mereka lebih peka.

"Dengan membawa kepakaran ini secara terus kepada komuniti seperti di Batu Pahat, ia membantu penduduk mengenalpasti sama ada sesuatu kecederaan melecur itu boleh dirawat di rumah atau sudah tiba masanya untuk mendapatkan rawatan perubatan lanjut," jelasnya lagi.

Impak kecederaan melecur

Dalam pada itu, Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Pantai Hospital Melaka, Dr Teh Yong Hup menjelaskan bagaimana pesakit melecur dinilai dan distabilkan dengan pantas di Jabatan Kecemasan, sekali gus membantu orang awam memahami bila sesuatu kecederaan memerlukan perhatian perubatan berbanding rawatan di rumah.

PAKAR Perunding Perubatan Kecemasan, Dr Teh Yong Hup di Pantai Hospital Melaka menerangkan bagaimana pesakit melecur dinilai dan distabilkan.

Impak kecederaan melecur yang parah sebenarnya bukan sekadar rasa sakit pada permukaan kulit semata-mata, malah boleh memberi kesan jangka panjang kepada kualiti hidup pesakit.

Pakar Perunding Pembedahan Plastik dan Rekonstruksi Pantai Hospital Melaka, Dr Lee Shi Zhen turut berkongsi mengenai komplikasi serius seperti sepsis melecur (jangkitan kuman berisiko tinggi) dan kontraktur atau pengecutan tisu kulit, sambil menekankan kepentingan rawatan susulan pakar demi pemulihan serta kualiti hidup pesakit.

PAKAR Perunding Pembedahan Plastik dan Rekonstruksi di Pantai Hospital Melaka, Dr Lee Shi Zhen, mendidik orang awam mengenai kesan jangka panjang kecederaan melecur yang serius.

Selain perkongsian ilmu perubatan, kempen berkenaan turut memperkasakan kesedaran keselamatan kebakaran menerusi pembabitan Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram yang berkongsi langkah praktikal menguruskan risiko kebakaran di rumah.

Sementara itu, St John Ambulance Malaysia Kawasan Batu Pahat turut mengadakan demonstrasi resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan kemahiran asas respons kecemasan. Bagi melengkapkan usaha gaya hidup sihat ini, Pantai Hospital Batu Pahat menawarkan saringan kesihatan percuma seperti pemeriksaan tekanan darah, paras gula dalam darah, serta saringan endoskopi telinga, hidung dan tekak  oleh Pakar Perunding Otorinolaringologi, Dr Ahmad Zulkifli.

PAKAR Perunding Otorinolaringologi, Dr Ahmad Zulkifli di Pantai Hospital Batu Pahat menyediakan saringan endoskopi ENT secara percuma.

Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Operasi Pantai Hospital Batu Pahat, Tiong Ngee Zheng menjelaskan komitmen hospital terhadap masyarakat setempat.

"Kempen ini memberi kami peluang untuk melakukan perkara tersebut, dengan menjadikan maklumat kesihatan praktikal serta saringan pencegahan lebih mudah diakses oleh keluarga tempatan.

"Kami berharap dapat mengadakan lebih banyak sesi interaksi seperti ini dengan komuniti Batu Pahat, supaya maklumat kesihatan menjadi sesuatu yang boleh diakses oleh orang ramai sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian mereka," tambah beliau lagi.

Inisiatif sebegini membuktikan bahawa penjagaan kesihatan tidak seharusnya berlegar di dalam bilik rawatan hospital sahaja, sebaliknya perlu diintegrasikan ke dalam kehidupan harian masyarakat demi membina komuniti yang lebih prihatin, berpengetahuan dan bersedia berdepan sebarang kemungkinan.