Neelofa hamil anak ketiga, akui hampir setahun berusaha melalui TTC – 'Baru saya faham perasaan orang yang sukar mengandung

Iklan

PERJALANAN mendapatkan cahaya mata tidak semestinya sama untuk setiap kehamilan. Begitu juga yang dilalui selebriti dan usahawan, Neelofa apabila usaha mendapatkan zuriat ketiga mengambil masa hampir setahun berbanding dua kehamilan terdahulu.

Menurut pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor, dua kehamilan sebelum ini hadir tanpa dirancang dan proses untuk hamil juga tidak mengambil masa yang lama.

Iklan
Iklan

Namun, pengalaman mencuba untuk hamil atau try to conceive (TTC) bagi kali ketiga membuka perspektif baharu buat ibu kepada dua cahaya mata itu.

“Namun, kali ketiga ini saya berusaha melalui proses TTC. Perjalanan itu mengajar saya erti yang berbeza sebab baru saya faham perasaan orang yang sukar mengandung.

Iklan

“Selama ini saya tidak pernah mengalaminya,” katanya menerusi sebuah audio siar.

Dalam tempoh tersebut, Neelofa bukan hanya berusaha dari sudut fizikal, malah melalui pelbagai ikhtiar dengan harapan impiannya untuk menambah cahaya mata menjadi kenyataan.

Iklan

Bekas pengacara program MeleTOP itu pada awalnya turut mempertimbangkan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sekiranya usaha untuk hamil tidak berhasil.

“Tetapi saya terus menunda tarikh itu. Sampai satu hari saya sudah berusaha macam-macam, buat suntikan, makan suplemen dan pergi mendapatkan rawatan perubatan tradisional Cina,” ujarnya.

Bagaimanapun, selepas melalui pelbagai usaha, Neelofa mula bermuhasabah tentang satu perkara yang dirasakan masih kurang dalam perjalanan tersebut iaitu pergantungannya kepada ALLAH SWT.

“Persoalannya, adakah saya betul-betul berdoa kepada ALLAH atau tidak? Saya kenal diri sendiri, saya tidak merayu dan mengetuk pintu rahmat ALLAH dengan bersungguh-sungguh,” luahnya.

Umrah jadi titik perubahan

Selepas hampir setahun mencuba, perjalanan rohaninya pula membawa Neelofa kepada satu fasa yang lebih mendalam.

Selepas Aidilfitri, dia meminta izin daripada suami, Haris Ismail atau PU Riz, untuk menunaikan ibadah umrah. Kesempatan berada di Tanah Suci dimanfaatkan sebaiknya untuk memperbanyakkan doa, termasuk memohon rezeki zuriat.

Sebelum berangkat, dia terlebih dahulu mengambil peluang pada malam-malam yang dirasakan mustajab untuk berdoa secara khusus mengenai hajat tersebut.

Malam Lailatulqadar juga menjadi antara detik yang paling dekat di hatinya apabila dia benar-benar meluahkan isi hati kepada ALLAH SWT.

“Sampai satu tahap saya terfikir, adakah wajar meminta kepada ALLAH sampai begini sekali? Adakah terlalu berlebihan sebab saya meminta sampai merengek-rengek,” katanya.

Tidak lama selepas pulang daripada umrah, doa yang dipanjatkan akhirnya membawa khabar yang dinanti-nantikan.

“Dua minggu selepas itu apabila pulang dari umrah, keputusan ujian kehamilan adalah positif. ALLAH menjawab doa itu selepas hampir setahun perjalanan untuk hamil,” kongsinya.

Perjalanan TTC

Pengalaman tersebut turut membuatkan Neelofa melihat perjalanan TTC dari sudut yang berbeza. Jika sebelum ini dia tidak pernah benar-benar merasai kesukaran untuk mendapatkan zuriat, pengalaman hampir setahun itu sedikit sebanyak membuatkannya lebih memahami emosi wanita yang melalui perkara sama.

Bagi Neelofa, usaha tetap penting tetapi ia perlu disertai dengan doa dan penyerahan kepada ALLAH SWT.

“Adakah kita sudah benar-benar berdoa secara habis-habisan atau tidak?” katanya.

Sebelum ini, Neelofa memilih untuk tidak mengumumkan kehamilan ketiganya secara terbuka meskipun perubahan fizikalnya mula disedari ramai.

Neelofa dan Haris Ismail mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021. Hasil perkongsian hidup, pasangan tersebut dikurniakan dua putera, Bilal, empat tahun, dan Abbas, tiga tahun.

Sumber: Kosmo Online & Threads