BERTAHUN-tahun menyimpan hasrat untuk bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad, akhirnya impian anak seni tempatan direalisasikan apabila mereka berpeluang duduk semeja dan beramah mesra dengan negarawan itu serta isterinya, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
Pertemuan yang berlangsung menerusi majlis Seniman Semeja dan sambutan hari lahir Tun Dr Mahathir serta isteri kesayangannya, Tun Hasmah yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Isnin lalu bukan sekadar sebuah acara santai, sebaliknya menjadi ruang buat penggiat seni daripada generasi muda hingga legenda meluahkan rasa penghargaan terhadap pasangan tersebut.
Pelakon Datin Seri Umie Aida yang bersama suaminya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menganjurkan majlis berkenaan berkata, hasrat untuk menemukan anak seni dengan Tun M sudah lama disimpan.
Namun, kesibukan jadual Tun M serta keterbatasan akses menyebabkan hasrat berkenaan terpaksa dipendam buat sementara waktu.
“Bila ada peluang dan alhamdulillah daripada yang muda hingga legenda, dapat semeja bersama beliau. Pada masa sama, kami mahu melahirkan rasa terima kasih atas perjuangan beliau selama ini,” katanya.
Bagi Umie, pertemuan tersebut membawa makna yang lebih mendalam apabila melihat sendiri bagaimana anak seni yang hadir begitu teruja untuk bertemu pasangan berkenaan.
Malah, suasana majlis itu membuatkan Umie melihat Tun M dan Tun Hasmah seperti ibu bapa yang sekian lama dirindui anak-anak.
“Kita rasa cukup erat dan dekat. Aura pasangan ini welcome kita macam anak dan itulah yang mahal yang ada pada mereka berdua,” ujarnya.
Menurut pelakon filem Embun itu lagi, majlis berkenaan turut menjadi kesempatan untuk anak seni menyampaikan rasa terima kasih atas sumbangan dan perjuangan Tun M yang mereka ikuti sejak sekian lama.
“Selain mengeratkan silaturahim, kami juga mahu Tun M tahu yang anak-anak seni masih menghargai perjuangan beliau daripada awal sehingga ke hari ini,” jelasnya.
Sambutan di luar jangkaan
Idea menganjurkan Seniman Semeja tercetus selepas ramai rakan artis meluahkan keinginan untuk bertemu Tun M dan Tun Hasmah secara dekat.
Ketika mula merancang, Umie menyasarkan kehadiran kira-kira 100 tetamu. Namun, jumlah itu terpaksa ditambah menjadi 130 orang selepas menerima sambutan yang begitu menggalakkan daripada rakan-rakan dalam industri seni.
“Dalam pada sibuk dengan penggambaran, saya cari waktu yang sesuai. Kemudian saya mula jemput rakan-rakan artis. Tak sangka ramai yang nak datang. Dah macam festival filem. Artis semua datang tepat pada masa,” ungkapya.
Bagaimanapun, kapasiti dewan yang terhad menyebabkan Umie terpaksa mengehadkan jumlah tetamu meskipun masih ramai yang menyatakan hasrat untuk hadir.
“Saya mohon maaf kerana tak dapat nak jemput semua rakan artis. Dewan kita pun agak kecil,” katanya.
Sanggup berjaga hingga 4 pagi
Dalam kesibukan menguruskan majlis, Umie turut menyediakan sesuatu yang istimewa buat pasangan ikonik negara itu.
Gemar membuat kek, pelakon itu sanggup berjaga sehingga pukul 4 pagi untuk menyiapkan kek khas yang turut diubah suai kepada versi lebih sihat.
“Saya belajar cara nak buat kek itu dengan guru saya demi Tun M dan Tun Hasmah,” kongsinya.
Majlis Seniman Semeja turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada beberapa selebriti tempatan.
Antaranya, Erma Fatima yang membacakan nukilan khas buat Tun M, selain persembahan nyanyian Datuk Ramli Sarip, Datuk Khatijah Ibrahim, Elly Mazlein, Ameng Spring dan Zizi Kirana.
Turut hadir ialah Rozita Che Wan dan suami, Fasha Sandha dan suami, Datuk Remy Ishak dan isteri, Datuk Fizz Fairuz dan isteri, Datin Fouziah Ghous dan suami, Aeril Zafrel dan isteri, Datuk Ziela Jalil, Mimi Fly bersama ibu dan Zahiril Adzim dan isteri.