PENYANYI dan pelakon Bella Astillah berkongsi momen istimewa berpeluang bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Hasmah Mohamad Ali.
Menjelang hari perkahwinan yang berbaki kira-kira dua minggu lagi, pemilik nama Dayang Nabellah Awang Astillah itu berbesar hati dapat bertemu pasangan yang pernah diktiraf oleh ASEAN Records dan ASIA Records sebagai pasangan bekas ketua kerajaan pertama di Asia yang kedua-duanya mencecah usia 100 dan 101 tahun.
"Hari ini saya dapat sesuatu yang saya rasa tak mungkin boleh dapat di luar sana. Saya dan YB Syed Saddiq bertemu Tun M dan Tun Hasmah.
"Salah satu perkara yang paling saya ingin tahu, bagaimana sebuah hubungan dan rumah tangga boleh terus kekal utuh selepas lebih 70 tahun bersama, masya-ALLAH.
"Kita selalu bercakap tentang jatuh cinta, tentang ‘dream wedding’ atau tentang permulaan sebuah kehidupan bersama.
"Tapi jarang kita bercakap tentang bagaimana untuk terus mencintai orang yang sama apabila tahun demi tahun berlalu.
"Apabila kita berubah, usia bertambah, kehidupan menguji dan dunia di sekeliling kita tidak lagi sama," titip Bella.
Dalam pertemuan berkenaan, ibu kepada dua cahaya mata itu turut mengagumi perkahwinan pasangan negarawan berkenaan yang sudah mencecah tujuh dekad.
"Lebih 70 tahun. Bayangkan berapa banyak suka dan duka yang telah dilalui. Berapa banyak sabar, bertolak ansur, memaafkan dan memahami yang diperlukan untuk sampai ke satu tahap di mana, selepas semuanya, orang yang masih berada di sisi kita ialah orang yang sama yang kita pilih sejak dahulu.
"Kerana akhirnya, mungkin cinta bukan tentang mencari hubungan yang sempurna. Tetapi tentang dua orang yang saling menghormati, tetap memilih untuk bertahan, belajar, memaafkan dan terus memilih satu sama lain. Setiap hari," titipnya.
Bakal kembali bergelar isteri tidak lama lagi, Bella benar-benar menghargai pengalaman itu sebagai satu bentuk pembelajaran yang tidak semestinya boleh diperoleh melalui buku atau nasihat, sebaliknya hanya dapat difahami melalui kehidupan yang telah dilalui sendiri.
"Terima kasih Tun M dan Tun Hasmah kerana sudi berkongsi sedikit sebanyak tentang perjalanan yang begitu mahal nilainya dengan kami.
"Ada perkara yang kita boleh belajar daripada buku dan nasihat orang dan ada perkara yang hanya boleh kita pelajari daripada dua insan yang sudah membuktikannya dengan sebuah kehidupan," titipnya.
Terdahulu, Syed Saddiq telah menyampaikan sendiri kad undangan perkahwinan mereka kepada Tun M dan Tun Hasmah.
Sekadar info, Bella dan Syed Saddiq yang telah bertunang pada 28 Mac lalu akan melangsungkan pernikahan pada 10 Oktober depan.