MENJAGA bentuk badan bukan sekadar soal penampilan, apatah lagi apabila usia semakin meningkat dan rutin harian mula berubah.
Bagi pelakon dan usahawan, Hanis Zalikha, perkara itu turut memerlukan usaha. Malah, dia mengakui mengekalkan bentuk badan menjadi semakin mencabar seiring pertambahan usia.
Menjawab persoalan pengikut mengenai rahsia tubuhnya yang kekal langsing menerusi Instagram Stories, Hanis tidak menganggap faktor genetik sebagai jawapan utama.
“Saya nak kata sebab faktor genetik, tapi sebenarnya tidak juga. Semakin meningkat usia, semakin sukar untuk mengekalkan bentuk badan,” katanya
Isteri kepada pelakon Hairul Azreen itu sebelum ini turut berkongsi bahawa pemilihan makanan menjadi antara perkara yang diberi perhatian dalam rutin hariannya.
Menurut Hanis, dia mengamalkan pemakanan secara sederhana walaupun tidak mengehadkan pilihan makanan kepada jenis tertentu.
“Saya makan secara sederhana (cuma pilihan makanannya pelbagai) dan saya memakai waist trainer semasa tidur,” ujarnya.
Namun begitu, ibu kepada sepasang cahaya mata itu kini melihat penjagaan tubuh dari sudut yang lebih menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada pemakanan.
Katanya, aspek kecergasan dan kekuatan otot juga penting, menyebabkan dia mula memberi perhatian terhadap aktiviti senaman.
“Baru tahun inilah saya benar-benar memahami kepentingan otot dan kecergasan, jadi saya baru mula nak bersenam,” katanya.
Perkongsian tersebut menunjukkan rutin menjaga bentuk badan bagi Hanis bukan sekadar mengejar tubuh langsing, sebaliknya turut melibatkan usaha mengekalkan kecergasan apabila usia semakin bertambah.