MENGURUSKAN perbelanjaan isi rumah bukanlah satu tugas mudah. Mana hendak fikirkan duit lauk-pauk harian, mana hendak sediakan stok barangan asas, belum lagi dikira keperluan sekolah dan serba-serbi keperluan anak-anak setiap bulan.
Sebab itu, berita penambahbaikan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi Belanjawan 2027 yang baharu diumumkan ibarat ‘talian hayat’ yang melegakan ramai ibu bapa.
Dengan peruntukan keseluruhan STR dan SARA dinaikkan kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion sebelum ini, insentif kerajaan kali ini bukan sahaja lebih tinggi, malah lokasi berbelanja juga semakin luas dan mudah.
SinarPlus susunkan poin penting bagaimana inisiatif ini dapat bantu anda merancang bajet dapur dengan lebih teratur:
1. Suntikan hingga RM1,800 setahun buat penerima STR
Ini berita paling utama yang wajib diambil perhatian oleh isi rumah!
Bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kadar bantuan SARA kini ditingkatkan daripada RM100 kepada RM150 sebulan.
Jika dikira sepanjang tahun, jumlah bantuan maksimum yang boleh didapati mencecah RM1,800! Nilai ini secara langsung dapat menampung keperluan asas bulanan keluarga tanpa mengusik wang simpanan lain.
2. SARA MADANI RM200 buat golongan M40 & bujang
Bukan hanya penerima STR, rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang layak turut menikmati inisiatif ini menerusi SARA MADANI.
Bantuan sebanyak RM100 disalurkan dua kali sepanjang tahun 2027 — iaitu menjelang Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-70.
Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada 13 juta individu di seluruh negara.
3. Boleh beli barang basah segar di pasar tani FAMA
Inilah berita gembira yang paling dinanti-nantikan oleh suri rumah dan pencinta bahan mentah segar. Pilihan lokasi tebusan SARA kini tidak lagi terhad di pasar raya sahaja! Anda sudah boleh menggunakan bantuan ini untuk membeli ikan, ayam, dan sayur-sayuran segar di 216 pasar tani dan pasar tamu di bawah kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Selain itu, rangkaian kedai runcit kecil dan koperasi rakan niaga SARA disasarkan mencecah 10,000 premis menjelang akhir 2026, sekali gus memudahkan urusan berbelanja berhampiran kediaman anda.
Panduan pantas sebelum mula berbelanja:
Semak premis berdaftar: Pastikan kedai runcit, koperasi, atau pasar tani pilihan anda menyertai program SARA.
Utamakan barang keperluan asas: Semak senarai item yang dibenarkan agar urusan di kaunter berjalan lancar.
Pantau portal rasmi: Sentiasa semak maklumat rasmi untuk mengetahui status kelayakan dan tarikh kemasukan bantuan.