Dari kaki game ke pencipta teknologi, industri e-sukan buka peluang kerjaya

Iklan

Permainan video bukan lagi sekadar hiburan atau aktiviti mengisi masa lapang. Di sebalik dunia gaming yang penuh persaingan, anak muda sebenarnya berpeluang mengembangkan kreativiti, menguasai teknologi dan membina kerjaya dalam industri digital yang semakin berkembang.

Melihat potensi itu, AdikBeradik Kuala Lumpur (ABKL) dan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT) menjalinkan kerjasama strategik bagi membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda meneroka industri permainan video dan e-sukan, termasuk melalui pendedahan akademik serta pengalaman pemain industri.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, Muzammil Mudzakir berkata, industri e-sukan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan menerusi penglibatan belia, sokongan pemain industri dan hubungan lebih erat dengan institusi pendidikan.

Menurutnya, ekosistem gaming bukan hanya berkisar pertandingan dan hiburan, malah turut merangkumi kreativiti, teknologi, keusahawanan serta peluang kerjaya dalam sektor digital.

Iklan

ABKL yang aktif membangunkan komuniti permainan video dan hiburan digital menerusi platform AdikBeradik Roleplay (ABRP) turut komited memperluas penglibatan komuniti serta menyediakan ruang kepada bakat tempatan untuk berkembang.

Iklan

Usaha itu turut diteruskan menerusi penganjuran AdikBeradik Championship pada 28 November ini di The Arch Galeries, Kuala Lumpur, yang menjadi antara platform menghimpunkan komuniti peminat permainan video.

Sementara itu, Dekan UniKL MIIT, Prof Ts Dr Mohd Nizam Husen berkata, industri permainan video dan e-sukan menawarkan peluang lebih luas, termasuk dalam bidang pembangunan perisian, permainan digital, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan multimedia kreatif.

“Kami melihat industri permainan video dan e-sukan di Malaysia mempunyai potensi besar, bukan sekadar sebagai platform hiburan dan pertandingan, tetapi juga sebagai pemacu inovasi, keusahawanan dan pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya.

Kerjasama itu membuka peluang kepada pelajar mendapatkan pendedahan industri melalui bengkel teknikal, perkongsian kepakaran, projek inovasi serta penglibatan dalam aktiviti sebenar. Pengalaman tersebut turut membantu mereka mengasah kemahiran komunikasi, kreativiti, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah.

UniKL MIIT turut menawarkan program Sarjana Muda Teknologi Pembangunan Permainan dengan Kepujian, selain bakal menganjurkan UniKL E-Games Carnival (UEGC) pada Disember ini.

Forum Success in Esports yang berlangsung turut memberi peluang kepada pelajar mendengar pengalaman pemain industri mengenai cabaran membina kerjaya, mengembangkan jenama peribadi serta memanfaatkan media sosial.

“Aspirasi kami adalah untuk melahirkan graduan yang bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi turut berperanan sebagai pencipta teknologi, pembangun permainan digital, inovator dan usahawan digital,” ujar Mohd Nizam.