BAYANGKAN gemersik alunan kulintangan yang membangkitkan nostalgia, gabungan pergerakan tari bertenaga serta deretan busana tradisi pelbagai warna yang memukau pandangan di bawah langit Kota Kinabalu.
Buat penggemar seni, budaya dan gaya hidup warisan, suasana meriah serta berprestij inilah yang menghidupkan festival gilang-gemilang Ritma Kinabalu atau Rhythms of Kinabalu (ROK) 2026.
Dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama JKKN Sabah, pesta kebudayaan ini sekali lagi menukarkan Padang Merdeka menjadi pusat tumpuan paling ‘hidup’ dari jam 8.30 pagi hingga 11 malam.
Sebagai salah satu daripada 15 Program Pelancongan Budaya utama JKKN pada tahun ini, ROK 2026 yang memasuki edisi ke-12 terus utuh memartabatkan serta memperkukuh khazanah warisan tidak ketara Negeri Di Bawah Bayu.
Kelainan ROK kali ini benar-benar mencuri perhatian menerusi penyatuan muzikal tradisional dan moden yang mengangkat kisah legenda terkenal Sabah. Pentas Kemuncak Malam Gala dan Perasmian yang disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Joniston Bangkuai bersama barisan tetamu kehormat MOTAC serta JKKN, menyaksikan persembahan Julangan Khas membabitkan 156 pemuzik dan penari.
Para penonton dibawa menelusuri lima segmen penuh magis iaitu Lagenda Aki Nabalu, Huminodun, Pahlawan Antanom, Pahlawan Kuda dan Arung Salamiah.
Kehadiran artis popular tempatan seperti Elica Paujin dan Den Bisa, selain penglibatan bakat hebat seperti Razali Kulintangan, Kumpulan the Male-Efficient, Kumpulan MuTraS, Juara Dance World Cup 2026 Aidil@Dielo, serta ikon ikonik seperti Gelvia Vanessa Jenny (Unduk Ngadau Kaamatan 2026) dan Syafikah Abdul Jahiq (Ratu Lepa 2026) menjadikan atmosfera malam pementasan sangat luar biasa dan memukau!
Bukan sekadar konsert, ROK 2026 turut menyajikan pelbagai aktiviti gaya hidup menarik buat seisi keluarga. Antara tarikan utama ialah Perarakan Budaya sejauh 3 kilometer anjuran SEAMEX yang menghimpunkan 110 peserta berbusana etnik asli.
Pengunjung juga disajikan dengan suasana Kampung Budaya bersama Sekolah Adat Negeri Sabah, jualan kraf tempatan di Tamu Seni, pertandingan Voice of Ethnic, serta Senam Seni 2.0 yang menggabungkan pergerakan sihat dengan irama tradisi. Kemuncak acara turut menyaksikan Gillian Gabriel dinobatkan sebagai Johan Miss ROK 2026, manakala Anistellah Yerna dan Arcyca Alex masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti perkembangan serta liputan visual acara kebudayaan akan datang menerusi akaun Facebook rasmi mysenibudaya atau portal JKKN!