Marina Mahathir rindu segala-galanya tentang Tun Dr Hasmah, sebak tak boleh lagi berkongsi cerita – ‘Itulah bahagian paling perit’

Iklan

KEHILANGAN seorang ibu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, apatah lagi insan yang selama ini menjadi tempat berkongsi cerita, meminta pandangan dan meluahkan perasaan.

Bagi Datuk Marina Mahathir, pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali meninggalkan ruang kosong yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Walaupun sudah dua minggu berlalu sejak ibunya menghembuskan nafas terakhir, hakikat bahawa insan tersayang itu sudah tiada masih sukar untuk diterima.

Iklan
Iklan

Anak sulung bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu mengakui dirinya masih bergelut dengan perasaan kehilangan, namun cuba belajar menerima ketentuan tersebut dengan reda.

“Masih sukar untuk dipercayai. Beliau sudah tiada. Keadaannya tetap sama. Cuma kita kena cuba reda dan terima,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada majlis tahlil Allahyarham Tun Dr Hasmah di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, pada Selasa.

Iklan

Rindu perkara kecil yang pernah dikongsi bersama

Apabila ditanya perkara yang paling dirindui tentang ibunya, Marina mengakui tiada satu pun yang mampu dipisahkan daripada kenangan bersama insan istimewa itu.

Iklan

Bagi dirinya, Allahyarham bukan sekadar seorang ibu, malah sosok yang ceria dan sentiasa bertenaga. Kehadirannya menjadikan perkara biasa dalam kehidupan seharian terasa bermakna.

Namun, kehilangan itu paling dirasai ketika Marina mahu melakukan sesuatu yang sebelum ini menjadi kebiasaan, seperti bertanya soalan, meninggalkan pesanan atau berkongsi cerita dengan ibunya.

Saat menyedari bahawa semua itu tidak lagi dapat dilakukan, di situlah peritnya kehilangan benar-benar terasa.

“Kadang-kadang saya nak tanyakan sesuatu pada beliau, atau nak tinggalkan pesanan tentang sesuatu, atau nak ceritakan sesuatu pada beliau... kemudian barulah saya tersedar yang saya dah tak boleh buat semua tu lagi. Itulah bahagian yang paling perit,” katanya sambil menitiskan air mata.

Pengakuan itu menggambarkan bagaimana kehilangan insan tersayang bukan hanya dirasai ketika mengenang detik-detik besar bersama, tetapi juga menerusi rutin kecil yang sebelum ini dianggap biasa.

Doa orang ramai jadi penguat keluarga

Di sebalik kesedihan yang masih dirasai, Marina turut meluahkan rasa terharu terhadap keprihatinan orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan arwah ibunya.

Setiap kali menziarahi pusara Allahyarham, beliau melihat ada individu yang datang untuk membaca surah Yasin, mengadakan tahlil dan membawa bunga sebagai tanda ingatan.

Ada antara mereka yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menziarahi pusara tersebut. Bagi Marina dan keluarga, kehadiran serta doa yang dititipkan itu membawa makna yang besar.

“Setiap kali saya pergi ke pusara arwah ibu, saya lihat ramai orang datang. Macam Yasin, tahlil, bawa bunga-bunga.

“Kami sangat terharu dan berterima kasih atas doa mereka,” ujarnya.

Marina turut berkongsi bahawa majlis tahlil dan doa yang diadakan membantu keluarganya menghadapi dugaan tersebut. Dalam tempoh berduka, sokongan orang sekeliling menjadi antara perkara yang memberikan ketenangan kepada mereka.

Majlis tahlil berkenaan turut dihadiri kira-kira 200 pegawai dan bekas pegawai Allahyarham, selain Tun Dr Mahathir, anak-anak mereka iaitu Tan Sri Mokhzani, Tan Sri Mirzan dan Datuk Seri Mukhriz serta kenalan rapat keluarga.

Dalam perkembangan sama, Marina memaklumkan keadaan bapanya yang semakin baik. Tun Dr Mahathir dilaporkan sudah boleh bercakap dan menyatakan keinginannya untuk makan ketika masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Terdahulu, Allahyarham Tun Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir di IJN, Kuala Lumpur, pada pukul 9.20 pagi, 28 September lalu. Jenazah beliau selamat dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya, pada hari yang sama.