'Bukan siapa habis dahulu...' - Suami isteri ini pilih tamatkan PhD bersama jadi inspirasi, momen tulis tesis paling romantik 

Iklan

SUAMI isteri berjuang di medan ilmu bukan sesuatu yang mudah tetapi pasangan ini membuktikannya. Di kejayaan menggenggam segulung ijazah doktor falsafah (PhD), tersimpan kisah pengorbanan, kesabaran dan kasih sayang sepasang suami isteri yang membuktikan bahawa kejayaan dalam pendidikan lebih bermakna apabila dikecapi bersama insan tersayang.

Pasangan pensyarah kanan dari Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat, Dr Suzana Hassan, 41, dan Dr Muhamad Kodri Kholib Jati, 42, berjaya menamatkan pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dengan sokongan dan komitmen berterusan antara satu sama lain.

Iklan
Iklan

Kisah mereka bermula apabila kedua-duanya berkenalan semasa menuntut di peringkat diploma di UiTM Dungun sebelum mendirikan rumah tangga pada 2011. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata, iaitu dua perempuan dan seorang lelaki.

Namun, perjalanan melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai pensyarah, suami isteri dan ibu bapa.

Iklan

"Kami mengambil keputusan untuk menyambung pengajian untuk DBA sebab sudah 14 tahun tidak belajar. Jadi, kami mengambil keputusan untuk menyambung pengajian.

"Alhamdulillah, kami teruskan walaupun memang banyak dugaan. Tidak lupa juga sokongan daripada keluarga dan ibu bapa serta sokongan antara suami isteri dalam menyambung pengajian untuk terus berkembang dalam kerjaya sebagai pensyarah, juga dalam bidang akademik, penulisan dan bidang yang lain, insya-ALLAH.

Iklan

"Alhamdulillah, akhirnya kami sampai ke garisan penamat. Ijazah yang dikurniakan kepada kami pada hari ini bukanlah milik kami berdua, tetapi juga milik keluarga kami yang banyak bersabar, berdoa dan berkorban," kongsinya.

Antara cabaran terbesar yang dihadapi ialah masa bersama anak-anak yang terpaksa dikorbankan demi menamatkan pengajian. 

Di sebalik tuntutan akademik dan tanggungjawab keluarga, mereka perlu saling memahami serta memberikan ruang kepada pasangan untuk terus berusaha mencapai matlamat masing-masing.

Bagi pasangan ini, kejayaan bukanlah tentang siapa yang lebih dahulu menamatkan pengajian, sebaliknya tentang bagaimana mereka mampu melangkah seiring hingga ke garisan penamat.

“Untuk sama-sama belajar, bukan tentang siapa yang habis dulu tetapi sama-sama membantu untuk menamatkan bersama,” katanya.

Menariknya, bagi pasangan ini, antara perkara paling romantik yang pernah dilakukan bersama-sama bukanlah percutian mewah atau pemberian hadiah istimewa, sebaliknya menulis tesis bersama-sama.

Di sebalik helaian penulisan akademik, terselit pengorbanan, perbincangan dan semangat untuk melihat pasangan masing-masing berjaya. 

Pengalaman itu membuktikan bahawa kasih sayang bukan sekadar diluahkan melalui kata-kata, tetapi turut diterjemahkan melalui tindakan dan kesanggupan menghadapi kesukaran bersama.

Ketika berkongsi nasihat kepada pasangan yang bercadang melanjutkan pengajian, mereka menekankan kepentingan menyusun keutamaan dan menyelesaikan tanggungjawab satu demi satu, khususnya bagi memastikan keharmonian keluarga terus terpelihara.

Menurut mereka, setiap individu berdepan cabaran yang berbeza. Oleh itu, pasangan perlu saling membimbing, memahami keadaan masing-masing dan memberikan sokongan sepanjang tempoh pengajian.

Doa serta restu pasangan dan ibu bapa juga merupakan antara sumber kekuatan ketika berdepan kesukaran.

Kisah Suzana dan Muhamad Kodri memberikan pengajaran bahawa kejayaan tidak semestinya dicapai melalui perjalanan bersendirian. Dalam rumah tangga, sokongan, pengorbanan dan persefahaman mampu menjadi kekuatan untuk merealisasikan impian bersama.

Pencapaian mereka turut mengingatkan kita bahawa di sebalik gelaran dan kejayaan akademik, terdapat pengorbanan insan tersayang yang tidak seharusnya dilupakan.

Sementara itu, pihak fakulti turut memberikan perhatian kepada usaha membantu pelajar menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan atau Graduate on Time (GOT).

Kisah pasangan ini membuktikan bahawa cinta bukan sekadar tentang berkongsi kebahagiaan, tetapi juga kesanggupan menemani, menyokong dan menguatkan satu sama lain ketika berdepan kesukaran.