'Alhamdulillah giliran Eusoff pula' - Anak kembar Dr Sheikh Muszaphar khatam al-Quran usia enam tahun jadi inspirasi

Iklan

TERKENAL dengan komitmen terhadap pendidikan dan keibubapaan, Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie, sememangnya menjadi inspirasi ramai dalam membesarkan anak-anak.

Bukan sahaja menitikberatkan pencapaian akademik, beliau turut memastikan pendidikan agama diberikan perhatian sejak usia awal, termasuk membimbing cahaya matanya sehingga khatam al-Quran sebelum melangkah ke alam persekolahan rendah.

Iklan
Iklan

Jika Ogos lalu adik kembar, Sophea Emilia, berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk al-Quran, kini tiba pula giliran si abang, Sheikh Eusoff mencatat pencapaian membanggakan itu.

Iklan

Berita gembira itu dikongsikan personaliti media sosial itu menerusi laman sosial Instagram.

“Giliran Eusoff pula khatam al-Quran. Alhamdulillah.

Iklan

“Eusoff sedikit lambat berbanding Emilia untuk khatam al-Quran. Mungkin sebab budak lelaki banyak sangat bermain. Dia lebih aktif dan suka bermain tetapi tidak mengapa,” kongsinya.

Terdahulu, Dr Sheikh Muszapahar mengamalkan pendekatan memperkenalkan pengajian al-Quran bermula dengan naskah Iqra kepada anak-anaknya seawal usia tiga tahun dan menyasarkan mereka khatam sebelum usia enam tahun atau sebelum memasuki Tahun Satu.

Meskipun sibuk dengan pelbagai aktiviti harian termasuk persekolahan dan sukan, keutamaan terhadap pendedahan kepada al-Quran sejak usia tiga tahun membuktikan bahawa gabungan akademik dan agama mampu dibentuk secara seimbang.

Pencapaian kecil Eusoff itu tentunya menjadi satu peringatan dan dorongan buat ibu bapa bahawa tiada yang mustahil dalam membimbing si cilik mendekati al-Quran sejak usia yang masih kecil.

Tahniah diucapkan buat Dr Sheikh Muszaphar sekeluarga, semoga kejayaan Eusoff dan Emelia menjadi inspirasi buat anak-anak yang lain!