KEHAMILAN anak keempat nyata membawa pengalaman berbeza buat bekas atlet futsal kebangsaan, Niena Azman apabila dia dan suami, pemuzik dan komposer Rody Kristal kini berdebar menantikan pengesahan jantina bayi yang bakal melengkapkan keluarga mereka.
Mengakui tidak pernah merancang untuk mempunyai empat orang anak, Niena atau nama penuhnya Nur Izwani Azman, 39, menyifatkan kehadiran cahaya mata yang digelar Baby D itu sebagai rezeki indah daripada ALLAH SWT, sekali gus mengingatkannya bahawa perancangan manusia tidak semestinya sama dengan ketentuan-NYA.
Menerusi perkongsian di media sosial, Niena turut meluahkan rasa teruja bercampur gementar menantikan detik mengetahui sama ada bayi dalam kandungannya itu lelaki atau perempuan.
“Sepanjang kehamilan kali ini, macam-macam perkara berbeza berlaku berbanding tiga kehamilan sebelum ini. Perjalanan kali ini sangat berbeza dari segi fizikal dan emosi.
“Banyak perkara yang saya sendiri tidak pernah jangka, tetapi sekarang kami cuba menikmati setiap detik perjalanan ini,” kongsinya.
Berdebar tunggu jantina bayi
Menurut Niena yang juga pengurus pasukan wanita KL Rangers dan juga penolong jurulatih skuad futsal wanita kebangsaan, dia dan Rody semakin tidak sabar untuk mengetahui jantina bayi mereka, apatah lagi si kecil itu seolah-olah pandai menyembunyikan jawapan daripada pengetahuan ibu dan bapanya.
“Minggu ini, saya berasa gementar menantikan pengesahan jantina bayi. Baby D ini pandai bermain sorok-sorok dengan mommy dan dada.
Biarpun masih belum mengetahui jantina bayi berkenaan, pasangan itu percaya setiap anak hadir dengan rezeki, kisah dan tujuan tersendiri dalam kehidupan mereka.
Tak pernah rancang miliki empat anak
Bagi Niena, perjalanan membina keluarga tidak semestinya berjalan mengikut perancangan manusia. Sebaliknya, dia percaya setiap ketentuan ALLAH SWT mempunyai hikmah tersendiri, termasuk kehadiran cahaya mata yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
“Kadang kala, kehidupan tidak berjalan seperti yang kita rancang. Kita merancang dan membayangkan macam-macam perkara, tetapi akhirnya perancangan ALLAH SWT sentiasa lebih hebat daripada perancangan kita.
“Tidak pernah terfikir, apatah lagi merancang untuk mempunyai empat orang anak. Namun, ALLAH lebih mengetahui apa yang kita tidak tahu dan Dia memberikan rezeki apabila tiba waktu yang tepat,” luahnya.
Menurut Niena, dia dan Rody percaya ada rezeki indah yang menanti kehadiran Baby D, meskipun mereka masih belum mengetahui apa yang bakal menanti keluarga itu pada masa hadapan.
“Tidak lama lagi, keluarga kecil kami akan menjadi enam orang! Daripada berdua, kemudian dikurniakan tiga anak lelaki, kini satu lagi jiwa bakal menyertai perjalanan kami.
“Sejujurnya, kadangkala saya masih sukar percaya. Bab baharu, cabaran baharu dan satu lagi bentuk kasih sayang yang bakal kami kenali,” katanya.
Baby D tetap istimewa, tak sabar tunggu kelahiran
Dalam masa sama, Niena menitipkan pesanan istimewa buat bayi dalam kandungannya itu, menegaskan bahawa kehadirannya amat bermakna buat mereka sekeluarga meskipun tidak pernah menjadi sebahagian daripada perancangan asal.
“Buat Baby D, mungkin kamu bukan sebahagian daripada perancangan asal kami, tetapi kamu ialah sebahagian daripada perancangan indah ALLAH SWT untuk kami. Itulah yang menjadikan kamu begitu istimewa.
“Tidak kira apa jantina kamu atau siapa kamu apabila membesar nanti, kamu sudah pun disayangi. Mommy dan dada tidak sabar untuk bertemu dengan kamu,” titipnya.
Mengakhiri perkongsian, Niena sekali lagi meluahkan rasa syukur atas rezeki yang hadir dalam kehidupan mereka, sambil mengingatkan bahawa setiap ketentuan mempunyai hikmah tersendiri.
“ALLAH tidak pernah tersalah dalam memberikan rezeki. Apa yang hadir dalam hidup kita pasti ada hikmah dan sebabnya.
“Kadangkala, nikmat paling indah ialah sesuatu yang tidak pernah kita rancang,” katanya.
Sekadar info, Niena dan Rody yang merupakan gitaris kumpulan Kristal mendirikan rumah tangga pada 27 April 2018.
Mereka terdahulu dikurniakan tiga cahaya mata lelaki berusia dua hingga tujuh tahun.
Sumber: Instagram