ISTERI kepada pemuzik dan komposer, Rody Kristal, Niena Azman berkongsi khabar gembira bakal menimang bayi perempuan selepas dikurniakan tiga cahaya mata lelaki sebelum ini.
Bekas atlet futsal kebangsaan itu teruja bercampur gementar selepas doktor mengesahkan jantina bayi dalam kandungannya.
“Finally, it's a girl !!! Haha, nervous sangat-sangat! Patutlah pregnancy kali ini berbeza daripada sebelum ini. Everything feels different, everything terbalik!
“Siapa sangka, Encik Mi tersenyum lebar sepanjang malam. Dari pagi sampailah saat Dr Yuli mengesahkan baby girl, dia memang tidak duduk diam!” kongsinya.
Menurut Niena, kehadiran bayi perempuan itu pastinya membawa pengalaman baharu buat mereka sekeluarga, terutama dari segi penjagaan.
Malah, dia secara berseloroh membayangkan Rody bakal menjadi lebih protektif terhadap puteri kesayangan mereka itu dan melihat perubahan tingkah laku anak ketiga mereka, Carliff yang sejak kebelakangan ini semakin manja dan mudah meragam.
Bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT, pengurus pasukan wanita KL Rangers dan penolong jurulatih skuad futsal wanita kebangsaan itu turut berterima kasih kepada semua atas titipan doa kesejahteraan buat keluarganya.
“Buat Baby D, mommy dan dada tidak sabar untuk bertemu dengan kamu. Satu-satunya harapan kami ialah kamu sihat, membesar dengan selamat dalam perut mommy dan dilahirkan dengan selamat supaya kami akhirnya dapat mendakap kamu serta memperkenalkan kamu kepada tiga abangmu.
“Daripada keluarga berlima, kini kami bakal menjadi berenam. Mommy, dada dan abang-abang tidak sabar untuk bertemu dengan kamu, puteri kecilku.
“Alhamdulillah atas rezeki yang indah ini. Perancangan ALLAH SWT sentiasa sempurna,” katanya,” titipnya.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 27 April 2018 itu terdahulu dikurniakan tiga anak lelaki berusia antara dua hingga tujuh tahun.