BEKAS isteri kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar menghembuskan nafas terakhir pada Khamis.
Berita duka itu dikongsikan anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib menerusi laman sosial Facebook.
"Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan pemergian bonda tercinta, Allahyarham Tengku Puteri Zainah.
"Terima kasih, bonda atas segala kasih sayang, pengorbanan dan doa sepanjang hayatmu. Tiada apa yang mampu membalas segala jasamu.
"Semoga ALLAH SWT mengampuni segala dosamu, merahmatimu dan menempatkanmu dalam kalangan penghuni syurga firdaus.
Sementara itu, seorang lagi anak Allahyarham, Datuk Mohd Nazifuddin Mohamad Najib turut menzahirkan kesedihan atas pemergian ibu tercinta.
"Dengan hati yang amat berat, saya menerima pemergian bonda tercinta, Allahyarham Tengku Puteri Zainah, yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, 5 November 2026.
"Terima kasih, bonda, atas segala kasih sayang, pengorbanan dan doa yang tidak pernah putus selama ini. Terlalu banyak jasa dan kebaikan bonda yang tidak mungkin dapat anakanda balas.
"Walaupun bonda sudah tiada, segala kenangan, nasihat dan kasih sayang bonda akan sentiasa anakanda simpan dalam hati. Semoga AlLLAH mengampuni segala dosa bonda, merahmati roh dan menempatkan bonda dalam kalangan penghuni syurga Firdaus," titipnya di Instagram.
Terdahulu, Allahyarham Tengku Puteri Zainah menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Sekadar info, Najib dan Tengku Puteri Zainah berkahwin pada tahun 1976 sebelum berpisah pada 1987.
Daripada perkahwinan berkenaan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nizar, Putri Norlisa dan Mohd Nazifuddin.