SENIWATI Fauziah Ahmad Daud tidak dapat menahan air mata apabila menerima Anugerah Sepanjang Zaman 2 pada Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) yang berlangsung malam Ahad.
Fauziah yang mesra disapa Ogy mendedikasikan anugerah yang diterima kepada kedua-dua ibu bapanya yang juga legenda filem Melayu, primadona Allahyarham Datin Saadiah dan seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud.
Ogy yang sebak ketika menyampaikan ucapan turut mengenang peranan Saadiah sebagai guru pertama dan pendorong dalam hidupnya.
"Saya dedikasikan anugerah ini untuk wanita yang merupakan guru pertama saya.
"Kerana tanpa beliau dan tanpa arwah ayah saya, saya tidak akan lahir seperti Fauziah Ahmad Daud di persada seni ini.
Dalam pada itu, Ogy turut menzahirkan rasa syukur atas rezeki yang diterima dan mengakui pengiktirafan itu merupakan hikmah yang telah ditentukan Tuhan.
"Terima kasih ALLAH kerana mengizinkan saya merasai nikmat rezeki ini kerana saya masih bernafas.
"Lebih lima dekad saya berada sebagai seorang pembara di dalam seni ini.
"Tanpa sekelumit minat, saya bertanya kepada diri, kenapa saya?
"Jawapan yang saya dapat adalah, ini rahsia Tuhan," kongsinya.
Pelakon itu turut menitipkan pesanan kepada generasi baharu agar sentiasa berpegang pada kejujuran dan disiplin dalam perjalanan seni mereka.
"Kepada para pelapis yang suatu hari nanti anda akan berdiri bertahta di pentas ini, ada satu pesanan saya kepada anda.
"Gemilang populariti itu hanya sementara. Dengan kejujuran jiwa dan disiplin, nama anda akan terus hidup selamanya," kongsinya.
FFM35 turut menyaksikan filem Khadam dinobatkan sebagai Filem Terbaik.
Menerusi kemenangan itu, Komet Productions Sdn Bhd dan Red Communications Sdn Bhd menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta, selain wang tunai RM5,000 dan trofi yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Pemberian DKK RM1 juta kepada pemenang Filem Terbaik merupakan manifestasi komitmen Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam memastikan kesinambungan penghasilan karya kreatif tempatan.
Tiga anugerah utama lain turut menjadi tumpuan pada malam kemuncak FFM35.
Anugerah Pengarah Terbaik dimenangi oleh Shamyl Othman menerusi filem Khadam, manakala Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menjadi milik Shaheizy Sam menerusi filem Badak.
Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pula dimenangi oleh Aida Amron menerusi filem Badak.
Seniman Ahmad Yatim turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman 1 FFM35.
Sekadar info, Ogy memulakan lakonannya menerusi filem Hati Batu pada 1973.
Ogy tidak asing lagi di pentas FFM apabila pernah menerima anugerah kategori Pelakon Harapan Terbaik FFM 1980, Pelakon Wanita Terbaik FFM 1985/86 dan 1987 menerusi lakonannya dalam filem Azura serta Puteri.
Beliau juga memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM 2016 menerusi filem Langit Cinta.