DI SEBALIK kemajuan teknologi yang sangat dibanggakan negara Jepun, terselit masalah dalam kalangan rakyatnya. Benar, populasi manusia di Negara Matahari Terbit itu berada dalam keadaan kronik.
Perkongsian Zunita Ramli, seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Jepun menerusi akaun Facebook menceritakan segala-galanya.
Dalam #CatatanZunitaDiJepun, Zunita yang mesra dengan panggilan Kak Nita sebelum itu pernah berkongsi mengenai kisah di kampung Nagoro yang terletak di pulau Shikoku Nagoro yang penuh dengan patung menyerupai orang.
Ini kerana kebanyakan penduduknya berpindah ke bandar besar dan ramai sudah meninggal dunia.
Bagi mengelak kampung itu terus dilupakan, seorang penduduk, Tskukimi Ayana, membuat patung jerami supaya kawasan itu kelihatan seperti masih berpenghuni.
Dalam entri terbaharu Kak Nita, beliau ada berkongsikan inisiatif yang diambil kerajaan Jepun untuk meningkatkan kadar kelahiran termasuk memberi insentif sebanyak RM16,000 kepada pasangan yang melahirkan anak. Banyak tu!
"Berkaitan post Kak Nita semalam mengenai kampung di ambang kepupusan di Nagoro yang dipenuhi dengan patung, ada yang bertanya:"Kerajaan Jepun tak ada buat apa-apa ke untuk atasi masalah kepupusan seperti ini, jawapannya, ada."
Berikut penjelasan lanjut Kak Nita:
Banyak sebenarnya yang kerajaan Jepun sudah lakukan.
Mengikut statistik, pada tahun 2013 sahaja, sebanyak 8 juta dari 60.6 juta rumah di Jepun adalah rumah tinggal.
Menjelang 2033, dijangkakan sebanyak 30 peratus dari seluruh rumah di Jepun adalah rumah tinggal dan dianggarkan 900 bandar-bandar kecil di Jepun tidak lagi wujud pada tahun 2040.
Nampak tak berapa seriusnya masalah ketandusan populasi di Jepun ini? Sebabnya kadar kelahiran bayi di Jepun semakin meruncing menjadikan populasi Jepun semakin berkurangan.
Sebagai contoh, pada tahun 2019 kelahiran bayi di seluruh Jepun adalah di bawah bilangan 1 juta, untuk penduduk Jepun yang seramai 130 juta orang iaitu paling rendah dalam sejarah sejak ia mula dicatatkan tahun 1899.
Jadi apa yang kerajaan Jepun buat untuk menggalakkan kelahiran?
Untuk setiap kelahiran anak, ibu bapa bakal menerima wang insentif sebanyak 420,000 yen (RM16,000) daripada kerajaan.
Iya, setiap kelahiran anak ya. Kadangkala ada syarikat memberi imbuhan tambahan untuk setiap kelahiran anak, tetapi biasanya wang ini digunakan semula untuk membayar bil bersalin di hospital.
Setiap anak yang berdaftar juga layak menerima elaun dikenali Child Allowance setiap bulan, nilainya bergantung pada wilayah dan umur, nilai antara 5000-20,000 yen sebulan (RM200 hingga RM800 sebulan) untuk setiap kanak-kanak.
Kanak-kanak juga layak menerima perubatan secara percuma, bergantung juga pada wilayah masing-masing.
Biasanya insurans kebangsaan akan tanggung sebanyak 70 peratus kos perubatan dan selebihnya ditanggung oleh wilayah masing-masing atau mungkin ada yang perlu bayar 30 peratus sahaja, bergantung pada polisi.
Bagi mengatasi masalah ‘kepupusan’ kampung dan bandar-bandar kecil pula, kerajaan Jepun telah mengambil inisiatif dengan untuk memberikan rumah kosong di kampung yang dipanggil sebagai akiya secara PERCUMA sahaja.
Iya, percuma tau.
Bukan saja rumah tinggal, ada juga inisiatif kerajaan yang membina rumah baharu di kawasan pedalaman dan penerima hanya perlu membayar ‘sewa’ serendah 1,000 yen (RM40) setahun selama 10-20 tahun dan mesti tinggal di rumah tersebut.
Benar, RM40 setahun ya, bukan sebulan. Selepas 10-20 tahun, rumah tersebut akan terus menjadi milik individu tersebut, tetapi walaupun banyak keistimewaan yang ditawarkan, bilangan kelahiran bayi masih di tahap yang membimbangkan dan inisiatif kerajaan untuk ‘menarik’ generasi muda untuk tinggal di kampung masih kurang mendapat sambutan.
Jika senario ini dibiarkan berterusan, Jepun mungkin akan mengalami masalah populasi dan jangkaan 900 bandar-bandar kecil di Jepun tidak lagi wujud pada tahun 2040 mungkin benar-benar berlaku, sedangkan sekarang pun dah banyak kampung/bandar ditinggalkan.