PENYANYI Datuk Sri Siti Nurhaliza hari ini, menyambut ulang tahun yang ke- 25 di dalam industri.
Dia yang kini sarat hamil telah menghadiahkan sesuatu yang istimewa pada tarikh ini dengan melancarkan sebuah album lagu kanak-kanak berjudul Legasi.
Album terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd ini diedarkan secara digital dan juga album fizikal.
Siti berpendapat lagu atau muzik kanak-kanak mempunyai impak positif bagi membantu perkembangan dan pembelajaran. Kanak-kanak dilihat lebih cepat dan peka mempelajari bahasa, kreativiti, motivasi dan tunjuk ajar.
Single Medley Klasik Siti 1 merupakan lagu kanak-kanak yang sering dinyanyikan oleh Siti bersama rakan-rakan sewaktu tinggal di berek polis di Kuala Lipis, Pahang.
Nostalgia puluhan tahun lalu diabadikan di dalam sebuah lagu dan berharap agar anakanda Siti Aafiyah akan turut mengenal lagu zaman kanak-kanaknya.
Baca juga Saya dedikasikan muzik video Kuasa Cintamu buat anakanda saya – Siti Nurhaliza
Penerbitan sebuah album komersial pasti tidak sama dengan album kanak-kanak yang lebih santai dan tentunya berbeza dalam banyak aspek serta pemilihan.
Namun apabila mendengar album ini, Siti yakin usahanya tidak sia-sia kerana Legasi menampilkan keistimewaan yang tersendiri.
Album Legasi mengandungi tujuh buah lagu dan mempunyai 10 buah trak termasuk interlud.
Di dalam album ini, Siti turut menghasilkan sebuah lagu buat anak yang bakal dilahirkan berjudul Anakanda.
Baca juga Album kanak-kanak dan produk BeauKids, dedikasi Siti Nurhaliza buat anak
Lain-lain lagu adalah Anakku Sayangku (lagu asal Anakku Sazali), Medley Klasik Siti 2, Bintang Kecil dan Burung Kakak Tua.