MENGHARGAI momen indah yang dilalui setelah bergelar ibu, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza sentiasa meletakkan keutamaan dan mendedikasikan apa yang dilakukan kepada cahaya matanya.

Tidak hanya menerusi pelbagai perancangan masa depan yang diatur, Siti, 42, teruja apabila berjaya merealisasikan impiannya menghasilkan sebuah album yang memuatkan lagu kanak-kanak.

Lebih istimewa, album yang bakal menemui peminat pada April depan itu turut memuatkan sebuah lagu dicipta khas Siti untuk cahaya mata keduanya yang dijangka lahir pada bulan sama.

“Selain dedikasi untuk anak, penerbitan single dan album kanak-kanak itu adalah sebahagian usaha saya untuk melestarikan lagu kanak-kanak klasik agar terus diingati.

“Lagu-lagu dalam album ini sering saya nyanyikan sewaktu kecil dan berharap agar ia juga akan didengar dan digemari anak-anak saya pula.

“Album terbitan Univeral Music itu memuatkan enam lagu lama dan sebuah lagu baharu yang saya ciptakan khas untuk anak kedua, berjudul Anakanda,” katanya yang sebelum ini tampil dengan lagu kanak-kanak, Comel Pipi Merah.

Dalam perkembangan lain, Siti baru sahaja melancarkan produk minuman BeauKids, menampilkan cahaya mata sulungnya, Siti Aafiyah, 3, sebagai duta, sekali gus mewakili empayar perniagaannya bersama suami, CTDK Holdings.

“Ini adalah satu legasi yang saya nak teruskan supaya anak saya juga terlibat dalam perniagaan.

“Selain tahu ibunya seorang penyanyi, dari sisi lain saya nak dia tahu ibu dan ayahnya juga berjaya dalam perniagaan.

“Sejak kecil saya berniaga kuih dan kini Aafiyah pula berniaga minuman kesihatan,” ujarnya yang ditemui ketika majlis pelancaran produk minuman BeauKids dan single serta muzik video lagu kanak-kanak, Medley Klasik Siti 1, di Cyberjaya, pada Khamis.

Bagaimanapun, Siti berkata, buat masa ini penglibatan Aafiyah sebagai duta hanyalah untuk projek dan produk keluaran syarikatnya sahaja dan belum bersedia memenuhi tawaran daripada pihak lain.

“Penglibatan Aafiyah mengikut kesesuaian yang diperlukan dan melibatkan produk di bawah CTDK Holding sahaja.

“Saya belum terfikir tentang penglibatan Aafiyah sebagai duta produk pihak lain kerana banyak perkara perlu diteliti. Malah untuk BeauKids, suami sentiasa pastikan apa yang sesuai dan tidak,” katanya.

Mahu anak membesar seperti kanak-kanak lain

Berkongsi perkembangan anak sulungnya yang baru sahaja menyambut hari ulangtahun kelahiran ketiga pada Jumaat lalu, Siti berkata, Aafiyah seorang yang aktif dan mudah dididik.

“Afiyah kalau sukakan sesuatu, dia menunjukkan rasa suka dan keterujaan itu.

“Misalnya ketika latihan sebelum majlis pelancaran Beaukids berlangsung, dia menunjukkan keterujaan apabila menyaksikan dewan dipenuhi gambar dan poster memaparkan wajahnya, apatah lagi bila namanya disebut.

Iklan

“Sebagai ibu, saya sangat gembira melihat perkembangan yang ditunjukkan. Alhamdulillah, Aafiyah anak yang aktif, mudah belajar dan dididik,” luah Siti.

Keluarga sentiasa menjadi keutamaan Siti.

Mengulas tentang populariti dan pengaruh dimiliki Aafiyah, kata Siti, apa yang dilalui anaknya itu sama sahaja seperti anak selebriti lain yang turut mendapat perhatian serupa.

“Kalau bercakap soal pengaruh, bukan Aafiyah sahaja, tetapi mana-mana anak selebriti lain juga menjadi perhatian umum.

“Aafiyah mendapat perhatian kerana orang mengikuti perkembangannya dalam Instagram saya.

“Bagaimanapun, saya sentiasa memastikan dia membesar seperti kanak-kanak lain dan berkawan dengan semua orang macam saya lalui dulu.

Iklan

“Cuma satu perkara saya tidak boleh ubah ialah kenyataan dia anak seorang selebriti dan akan sentiasa jadi perhatian,“ katanya yang belum berhasrat membuka akaun Instagram rasmi buat anaknya.

Dalam pada itu Siti lega apabila berjaya melunaskan beberapa komitmen dan tanggungjawab sebelum bersalin pada April depan dan berehat panjang untuk proses berpantang.

“Walaupun saya sepatutnya berehat sahaja sepanjang kehamilan, tetapi ada beberapa komitmen yang saya perlu laksanakan dan tidak boleh tolak.

“Jadi saya cuba lunaskan satu-persatu dan insya-ALLAH hujung bulan ini semuanya selesai.

“Alhamdulillah saya dan bayi dalam kandungan baik-baik sahaja dan selepas ini akan berehat menunggu hari bersalin,” akhirinya.