Saya dedikasikan muzik video Kuasa Cintamu buat anakanda saya – Siti Nurhaliza
TIDAK hanya menerima berita gembira tentang kehamilan kedua Datuk Seri Siti Nurhaliza yang diumumkan semalam, peminat penyanyi tersohor itu turut dihadiahkan dengan muzik video rasmi lagu Kuasa Cintamu pada hari sama.
Muzik Video yang dilancarkan pada malam Selasa itu merupakan karya ciptaan Melly Goeslow dan lirik tulisan Siti sendiri.
Jika muzik video Siapa Tak Mahu sebelum ini berjaya mencapai 1 juta tontonan dalam tempoh 72 jam dan tersenarai pada kedudukan #1 Video Muzik Paling Trending di YouTube Malaysia, Kuasa Cintamu yang juga muzik video ketujuh daripada album ManifestaSITI2020 itu dijangka bakal mencipta kejayaan sama.
Muzik video tersebut bukan sahaja membawakan kelainan dari segi teknik penggambaran, tetapi juga menerusi penglibatan istimewa permata hati Siti dan suami, Aafiyah yang kini menginjak usia dua tahun.
“Ini merupakan satu pengalaman baharu buat saya kerana menjayakan penggambaran dalam satu urutan tanpa henti serta dalam masa sama, harus menukar persalinan dalam masa beberapa saat sahaja.
“Kami mencuba beberapa kali dan akhirnya pihak pengarah mengambil hasil yang terbaik daripada penggambaran tersebut.
“Aafiyah juga turut menyerikan video ini dan saya mendedikasikan video ini buat anakanda saya,” katanya.
Dalam pada itu, pengarah muzik video tersebut, Adriana Tunku, berkata, penceritaan muzik video Kuasa Cintamu menterjemah secara visual maksud di sebalik lirik lagu itu sendiri.
Malah menurutnya, ia memfokuskan cerita perjalanan hidup Siti Nurhaliza dari zaman kelahirannya sehingga dikurniakan cahaya mata sulung, Aafiyah.
“Bila diteliti, lagu Kuasa Cintamu ini sebenarnya sarat dengan emosi yang bercerita tentang cinta yang bersifat universal.
“Ia boleh merujuk kepada beberapa bentuk cinta yang ada dalam kehidupan kita iaitu cinta kepada Tuhan, cinta kepada pasangan, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada keluarga dan cinta kepada anak.
“Menerusi video muzik ini, kami mengambil tema yang lebih luas dalam menggambarkan kuasa cinta dalam kehidupan seseorang itu dnegan menampilkan kisah hidup Siti sendiri sebagai tema utama dalam video muzik ini.
“Kami cuba menyorot kembali perjalanan hidup Siti dari kecil hingga dewasa dan setiap bentuk cinta yang pernah dirasainya dari dahulu hingga kini,” katanya.
Tambah Adriana lagi, bagi menggambarkan perjalanan berterusan dalam kehidupan Siti, rakaman keseluruhan video muzik itu dilakukan dalam satu urutan tanpa sebarang gangguan.
“Teknik penggambaran sekali rakam ini, memerlukan perancangan yang rapi kerana ia dirakam dari perspektif satu kamera dalam satu masa dan ruang yang sama.
“Setiap butiran kecil melibatkan apa-apa perubahan di hadapan lensa kamera perlu dirancang rapi agar penonton tidak menyedari apa yang berlaku di belakang lensa kamera.
“Untuk mendapatkan syot sempurna, kami terpaksa melakukannya berulang kali,” jelasnya.
Muzik video rasmi Kuasa Cintamu kini boleh ditonton di saluran YouTube Siti Nurhaliza bermula semalam.
Manakala album ManifestaSITI2020 boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer, sejak 3 Julai lalu.
(FOTO: Universal Music & YouTube DS Siti Nurhaliza)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang