TATKALA negara dilanda pandemik Covid-19, ramai yang terkesan dan kehilangan pekerjaan.
Ada insan-insan yang sedang menanggung derita dan kesusahan. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah ada yang terpaksa mengambil keputusan untuk mencuri kerana terdesak untuk mengalas perut anak yang sedang kelaparan.
Dua kejadian menyayat hati seumpama ini terjadi ketika Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Nik Ezanee Mohd Faisal ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.
"Apa yang kita kena buat ialah kita kena berempati dan meletakkan diri pada tempat masyarakat,” kata Ezanee.
Dalam kejadian 20 Januari lalu, seorang ibu kepada tiga orang cahaya mata didapati mencuri barangan dan ubat-ubatan untuk anaknya yang sedang demam.
Nik Ezanee rasa terpanggil untuk berjumpa wanita itu yang tinggal di sebuah projek perumahan rakyat (PPR). Melihat kepada situasi semasa wanita berkenaan, beliau mengambil keputusan untuk tidak mengambil tindakan lanjut kepada ibu berusia 30-an itu.
"Kalau dia curi pakaian ke apa mungkin untuk kepentingan diri. Tapi barangan yang dicuri adalah plaster untuk kebah demam, kek dan sosej. Jadi di sini adalah budi bicara.
"Dan apabila ditangkap pun, pengawal keselamatan kedai tersebut yang tangkap. Barang-barang yang diambil dipulangkan balik. Tiada kerugian kat situ. So ia situasi win-win,” kata Ezanee.
Baca juga Ibu ditahan curi ‘Cool Fever’ untuk anak, Ketua Polis Petaling Jaya tampil bantu
Rupa-rupanya kes tersebut bukanlah kes pertama seumpamanya dihadapi pegawai polis ini. Kira-kira dua bulan sebelum itu, seorang lelaki bernama ‘Jamal’ (bukan nama sebenar) juga mengalami kesempitan hidup sehingga terpaksa mengambil makanan di sebuah kedai tanpa membayar.
Apa yang lebih menyedihkan, Jamal melakukkan kesilapan di mana dia telah 'terambil' beberapa tin makanan anjing semata-mata untuk mengalas perut anaknya!
Perbuatan lelaki berkenaan menimbulkan rasa curiga kepada pengawal keselamatan kedai. Selepas memberanikan diri mengambil beberapa tin makanan yang mungkin dianggapnya sardin, Jamal ditahan ketika meninggalkan kedai tersebut.
Susulan peristiwa menyayat hati itu, Ezanee bersama beberapa anggota pasukan membawa bantuan keperluan asas kepada keluarga berkenaan berupa makanan dan barangan bayi pada keesokan hari.'
Malah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor itu juga turut berusaha mendapatkan peluang pekerjaan buat Jamal membolehkan dia bekerja semula sehingga ke hari ini.
Baca juga Demi negara, tindakan abang polis ini buat menteri pun tabik hormat
Menurut Ezanee, empati adalah sebahagian daripada pencegahan jenayah jangka panjang. Beliau adalah antara nama besar dalam bidang kepolisan di Malaysia dan sering dikaitkan dengan pelbagai kisah-kisah tular yang positif. Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen sebak mengikuti kisah ini.
Semoga pada masa mendatang lebih ramai anggota badan berunifiorm seperti Nik Ezanee akan terus membantu dan memberikan sinar buat orang-orang senasib Jamal.
Sumber: 999 (2021) | Khas Raya