SANGGUP mencuri disebabkan terdesak! Itulah yang dilakukan oleh seorang suri rumah yang akhirnya berjaya ditahan pihak Polis kerana mencuri ubat untuk anaknya yang demam.

Seperti yang kita sedia maklum, mencuri adalah satu kesalahan jenayah dan mana-mana individu yang didapati bersalah akan berhadapan dengan tindakan undang-undang dan dijatuhkan hukuman yang setimpal.

Namun, dalam situasi tertentu seperti desakan kehidupan, seseorang itu mungkin terpaksa melakukannya jika tiada pilihan lain.

Oleh demikian, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Tuan Nik Ezanee  Mohd Faisal terpanggil untuk mengunjungi wanita yang ditangkap akibat mencuri alat penyejuk suhu badan, ‘Cool Fever’ untuk anaknya di sebuah pasar raya.

Beliau dilihat bukan sahaja datang berkunjung malah hadir dengan menghulurkan bantuan makanan dan barangan harian kepada seorang suri rumah berkenaan.

Iklan

Memetik sebuah video yang diterbitkan oleh laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Tuan Nik Ezanee berkata, pihaknya menerima laporan polis dari pihak pasar raya yang menangkap ibu tiga anak itu yang mencuri ‘Cool Fever’ untuk kebah demam, kek dan sosej kira-kira jam 3.00 petang semalam.

“Semalam saya terima laporan mengatakan ada seorang wanita ditahan kerana dikatakan mencuri kek dan (plaster untuk kebah demam) sebab anaknya demam.

“Jadi saya pun berasa terpanggil untuk berjumpa dengan wanita ini. Saya percaya dia ada masalah kalau tidak dia tidak akan buat perkara ini”, katanya menerusi video yang disiarkan di Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, Tuan Nik Ezanee turut sempat memberi nasihat kepada orang ramai agar berkorban sedikit kesusahan dan duduk di rumah bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Iklan

“Jika kita susah, ramai lagi yang lebih susah.

“Jadi duduk rumah dan berkorbanlah sedikit tambahan pula kes terkini meningkat sehingga 4008 kes harian semalam. Nak apa lagi,” katanya.