SEKIRANYA kalian sedang dalam fasa kuarantin, tidak kiralah sama ada positif atau menjadi kontak rapat, aspek pemakanan perlu diberi perhatian sepenuhnya.
Bukan apa, jika dipandang ringan, sistem imun kita tidak kuat untuk melawan jangkitan kuman dan virus wabak Covid-19.
Prihatin dengan keadaan itu, seorang pakar pemakanan, Syaza Lyana Idris berkongsi tip pemakanan yang boleh diamalkan oleh semasa yang sedang menjalani proses kuarantin.
Tulisnya di Facebook, selain mementingkan aspek ketahanan badan, mungkin ada yang bimbang berat badan naik gara-gara kuarantin di rumah.
Masakan tidak, keinginan untuk kerap makan biasanya semakin tinggi semasa dalam tempoh tersebut.
Berikut beberapa tip dan idea pemakanan yang dicadangkan oleh Syaza Lyana:
1. Wujudkan dan patuh kepada jadual makan di rumah atau pusat kuarantin.
- Tetapkan waktu makan utama seperti sarapan, makan tengah hari dan makan malam untuk mengelakkan pengambilan makanan yang kerap dan berlebihan.
- Jika masih lapar, pengambilan makanan yang ringan (snacking) dibenarkan antara waktu makan.
2. Pilih snacking yang lebih sihat.
- Ambil snacking yang lebih sihat seperti buah-buahan, kekacang, yougurt dan sebagainya berbanding kerepek, kek dan kuih-muih.
- Kalori snacking seharusnya tidak melebihi 250kcal.
- Jika berada di pusat kuarantin, bawa bekalan kudapan terutamanya mereka yang mempunyai masalah diabetes dan gastritis.
3. Saiz hidangan yang kecil.
- Caranya, potong makanan seperti buah-buahan dengan menggunakan saiz yang kecil
- Ini kerana tindakan itu dapat memberi rasa kenyang dan puas seperti menikmati makanan dalam tempoh lebih lama.
- Selain itu, kunyahan yang lama dan banyak dapat memberi isyarat kepada otak untuk rasa kenyang lebih cepat.
Artikel berkaitan: Konsep kuarantin di rumah, ini yang anda perlu tahu
4. Pilih makanan yang lebih sihat jika menggunakan khidmat pesanan makanan.
- Pilihlah makanan seperti bihun sup, ayam bakar dan roti sandwich.
- Ingat, kurangkan kekerapan makanan yang tinggi lemak, garam dan gula.
5. Simpan stok makanan yang sihat.
- Elakkan menyimpan makanan tidak sihat seperti makanan proses dan makanan dalam tin di rumah.
- Makanan yang bergizi akan mendorong kepada corak pemakanan yang betul dan bermanfaat kepada tubuh badan.
6. Amalkan konsep pingan sihat Malaysia.
- Jangan sesekali tinggalkan konsep pemakanan suku-suku separuh iaitu setiap suku pinggan diisi dengan protein dan karbohidrat, manakala separuh lagi diisi pula dengan buah-buahan dan sayur-sayuran.
- Ambil peluang keberadaan di rumah untuk menyediakan makanan yang lengkap kepada ahli keluarga bagi memastikan pengambilan nutrisi yang mencukupi.
"Pun begitu, jangan lupa bersenam. Sebenarnya pelbagai jenis senaman ringan dapat dilakukan di rumah bersama-sama keluarga.
Dalam pada itu, pakar pemakanan itu turut menyarankan mereka yang sedang berada dalam fasa kuarantin agar memiliki tidur yang cukup dan bijak mengendalikan tekanan.
"Tidur tidak cukup (kurang dari 6 jam) sering berkait rapat dengan obesiti dan stres akan meningkatkan rintangan insulin dan lemak perut.
Artikel berkaitan: Kuarantin kendiri di rumah, jangan bermalasan. Tingkatkan tahap kesihatan
Oleh itu, buat semua pembaca SinarPlus yang sedang berkuarantin, jagalah aspek pemakanan dan masa tidur anda.
Ingat, dapatkan sokongan segera jika mula berasa stres dan kemurungan.
Semoga bermanfaat!