ISU berkaitan harga sajian makanan laut menjadi perhatian ramai akhir-akhir ini. Baru reda kontroversi ‘siakap kayangan’ di Langkawi kini sotong Apollo di Pulau Pinang pula menjadi menjadi bualan ramai.
Perkongsian foto yang memaparkan resit makanan dari sebuah restoran nasi kandar yang terletak di Lebuh Campbell, Georgetown, Pulau Pinang menjadi tular di media sosial.
Resit yang dikeluarkan di restoran tersebut pada pukul 5.09 petang bertarikh 23 November memaparkan harga bagi dua ekor sotong goreng segar berharga RM100, manakala sepinggan nasi beriani kosong berharga RM4.50, nasi putih (RM1.50), dua biji telur masin (RM2), papadom (RM3) dan timun (RM2).
Baca juga: Patut Cecah Ribuan Ringgit! Ikan Siakap Hiasan Pelihara Dalam Sangkar Dijadikan Juadah
Bagaimana pula isu tersebut menjadi panas? Berikut kronologi kontroversi berkaitan hidangan sotong ini.
23 November 2021
Tangkap layar resit pembayaran harga sotong goreng yang mencecah RM100 bagi dua ekor bertaikh 23 November 2021 menjadi tular di laman sosial.
Menurut perkongsian oleh seorang lelaki di Facebook, dia mengingatkan agar rakan-rakannya berhati-hati sekiranya mahu menikmati nasi kandar di negeri ini kerana menganggap harganya yang mahal.
"Hati-hati kawan-kawan yang mana nak mai makan nasik kandaq kat Penang. Harga dua ekor sotong boleh cecah sampai RM100,” katanya.
Lelaki berkenaan turut berkongsi gambar hidangan sotong itu yang bersaiz agak besar dan dinikmati bersama nasi beriani.
Baca juga: Siakap ‘Kayangan’ RM1,196, Peniaga Mungkin Didenda RM50,000, Berikut 10 Fakta Mengenainya
24 November 2021
Pengarah restoran, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim tampil memberikan penjelasan mengenai isu berkenaan.
Katanya harga semua makanan yang dijual di restoran itu disenaraikan dengan jelas termasuk hidangan sotong yang dijual di antara RM10 dan RM150 seekor.
Menurutnya, perkara itu tular selepas satu pasangan membeli dua set nasi berlaukkan sotong di restoran itu semalam dan berkongsi di laman sosial.
Difahamkan dia sendiri mengambil pesanan pasangan itu. Selain sotong goreng, mereka turut membungkus dibawa pulang selain nasi beriani, nasi putih, telur masin, sebungkus papadom dan hidangan timun.
Muhammad Riyaaz menjelaskan hidangan sotong goreng Appollo tidak murah dimana sotong mentah dibeli pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram. Bahkan, harga di pasaran juga sentiasa berubah-ubah.
Menurut Muhammad Riyaz, pasangan ini menempah hidangan sotong tersebut mereka tidak bertanyakan mengenai harganya.
9.28 malam
Menurut Bernama, perihal sotong berkenaan telah mendapat perhatian daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan telah melakukan pemeriksaan di restoran nasi kandar berkenaan.
Notis Pengesahan Maklumat Barangan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi mendapatkan maklumat serta harga kos dan jualan bagi sotong goreng berkenaan.
9.30 malam
Laman Facebook rasmi restoran menyiarkan permohonan maaf daripada pelanggan yang juga pemilik resit yang tular tampil.
Pelanggan berkenaan menjelaskan tiada niat untuk menularkan ia di media sosial, sebaliknya perkara tersebut dilakukan individu lain.
"Saya pemilik gambar resit berkenaan dengan restoran Hameediyah ingin memohon maaf diatas salah faham yang berlaku.
"Pada jam lebih kurang 5.00 petang ( 23 November 2021 ) , saya telah mengunjungi restoran berkenaan untuk membeli makanan.
"Saya dan pasangan telah mengambil dua ekor sotong goreng Apollo yang berharga RM50 seekor.
"Saya juga melihat pemilik restoran memasukkan (key in) harga yang ditetapkan dan saya tidak membantah (harga tersebut). Ia kerana sebelum ini saya juga pernah makan di restoran yang sama dan memesan makanan yang sama, jadi saya tahu dengan harga makanan berkenaan kerana sama dengan sebelum ini.
"Saya hanya memuatnaik di Instagram Story dan tidak meletakkan kapsyen mahal atau sebagainya.
"Tetapi ada pihak yang merakam layar (screenshot) hantaran berkenaan dan memuat naik di laman Facebook miliknya serta ‘tag’ lebih kurang 70 orang dengan kapsyen"Hati hati kawan-kawan, yang mana nak datang makan nasi kandar kat Pulau Pinang. Harga dua ekor sotong boleh mencecah sampai RM100," katanya.
Baca juga: Sotong Goreng Tepung Rangup, Resipi Senang Tak Letup
Tambah pelanggan berkenaan, hantaran tersebut menjadi tular selepas dimuat naik dengan kapsyen sedemikian sedangkan dia tidak berniat untuk menularkannya.
"Di sini saya ingin jelaskan bahawa harga berkenaan memang harga yang sepatutnya (dijual) kerana sotong yang kami ambil itu sotong bersaiz besar. Harga berkenaan tidak mahal kerana saiznya berbaloi. Jadi untuk sesiapa yang telah salah anggap dan mengatakan saya yang berkata harga itu mahal adalah tidak benar.
"Ia adalah harga sama dengan sebelum ini saya beli di restoran berkenaan. Saya tidak berniat untuk memviralkan posting berkenaan tetapi ada pihak lain yang telah merakam layar dan memuat naik di laman Facebook dengan kapsyen seakan-akan ingin mengatakan saya mengadu tentang harga berkenaan.
Pelanggan berkenaan berharap penjelasannya itu menjernihkan kekeruhan.
"Saya harap orang ramai tidak salah faham lagi di antara harga dengan hantaran sebenar saya. Saya juga ingin memohon maaf dia atas kesalahan pihak saya dan individu yang menularkan hantaran berkenaan. Saya harap orang ramai jelas dengan isu ini,” katanya.
Susulan penjelasan itu, warga maya memberikan pelbagai reaksi. Rata-rata mengatakan harganya berbaloi dengan saiz sotong.
-"Saya pun pernah makan di restoran itu. Bagi saya harga itu berbaloi kerana sotong besar. Tidaklah terlalu mahal, harga standard. Kalau makan dengan famili pesan sotong besar seekor sudah mencukupi.”
-"Sotongnya memang besar. Kami boleh makan seekor untuk satu keluarga. Padanlah dengan harga RM50.”
-"Harga sotong di pasar mahal dan itu pun susah nak dapat. Setakat RM50 untuk seekor itu kira murah. Ingatlah dia juga gunakan gas, rempah ratus, minyak untuk menggoreng. Lagi pun untung kena kira juga.”
Baca juga: Sotong besar dari manusia ditemui dalam pencarian bangkai kapal karam
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Sumber: Bernama, Facebook Hameediyah