Hampir dijual, kini jadi tarikan — Kisah di sebalik transformasi Wisma D’Herbs, Aliff Syukri hargai sokongan pelanggan setia
KALAU sebut sahaja slogan 'Terlajak Laris', pasti ramai terus terbayang figura usahawan sensasi, Datuk Sri Aliff Syukri dan empayar produk kecantikan serta kesihatan yang dibinanya.
Jenama D’Herbs bukan lagi asing, malah sudah sebati dengan rutin ramai rakyat Malaysia sejak hampir dua dekad lalu.
Terbaharu, empayar tersebut melangkah setapak lagi apabila Wisma D’Herbs di Persiaran Prestij, Kota Damansara tampil dengan wajah baharu yang jauh lebih moden, eksklusif dan mesra pengunjung.
Bukan sekadar naik taraf biasa, sebaliknya transformasi menyeluruh yang menjadikan ruang tersebut terasa seperti gabungan butik kecantikan dan ekspo mini dalam satu lokasi.
Sebaik melangkah masuk, pengunjung kini boleh menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih luas, tersusun dan interaktif.
Jika dahulu ruang jualannya lebih terhad, kini pelbagai rangkaian produk dipamerkan dalam suasana kondusif, membolehkan pelanggan melihat, mencuba dan mendapatkan konsultasi secara terus.
Menurut pasangan usahawan selebriti itu, keputusan memiliki dan menaik taraf bangunan sendiri bukanlah sesuatu yang dirancang dalam masa singkat.

Malah, pada awal pembabitan perniagaan, mereka menganggap diri sekadar peniaga kecil yang bergantung kepada sistem ejen.
Perubahan landskap bisnes terutama ledakan jualan atas talian pernah mendorong mereka fokus kepada platform digital. Namun kos operasi yang semakin tinggi membuatkan mereka menilai semula strategi.
“Lama-kelamaan, bisnes online pun ada cabaran apabila bayaran platform semakin tinggi.
"Jadi kami beralih kepada konsep walk-in dan ubah suai bangunan supaya lebih mesra pengunjung,” kongsi mereka.
Memetik xtra.com, Datin Seri Shahida mendedahkan bangunan tersebut pernah hampir dilepaskan kerana kos operasi yang besar. Ketika cuba dijual atau disewakan, tiada pihak berminat.
Daripada detik sukar itulah tercetus idea menukar konsep jualan kepada pameran ala karnival. Ternyata percaturan itu menjadi.
“Bila pengunjung datang, mereka rasa macam datang ke karnival.
"Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan, jualan walk-in mencecah RM8 juta. Malah ada hari sampai 11 buah bas singgah,” ujarnya.
Lokasi mesra keluarga
Kini, selain ruang jualan, Wisma D’Herbs turut dilengkapi pelbagai kemudahan gaya hidup seperti surau selesa, kafe mini, ruang permainan kanak-kanak serta ruang rehat berkonsep santai, menjadikannya lokasi mesra keluarga.

Bagi Aliff Syukri, transformasi itu adalah simbol penghargaan buat pelanggan setia yang menyokong jenama tersebut sejak awal penubuhan.
Sempena pelancaran rasmi pada 31 Januari lalu, pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk jualan lelong harga runtuh, pertandingan mewarna, bouncing castle, pertandingan berhias hingga pertandingan makan kuaci terpantas.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran duta beg AS, Izara Aishah dan Sally Whoo serta penampilan artis jemputan seperti Amelina dan Sherry Alhadad, menambah lagi kemeriahan suasana pelancaran.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

